Anna hiasi muzik video Rossa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Anna Jobling, 23, teruja apabila diberi peluang muncul dalam video muzik terbaharu penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa berjudul Bertengkar Manis.

-Advertisement-

Anna atau nama sebenar, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman berkata, dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran berkenaan, selain menganggap ia adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan.

“Saya dengan Rossa sudah berkawan lama, jadi bila saya ke Jakarta dan Rossa ke Kuala Lumpur, kami tak akan lepaskan peluang untuk berjumpa.

“Jadi, apabila kali pertama ditawarkan untuk muncul dalam video muzik Bertengkar Manis, saya terus bersetuju.” katanya

Video muzik Bertengkar Manis yang menjalani penggambaran di Jakarta sekitar Ogos lalu sudah ditayangkan di saluran YouTube, Rossa Official bermula semalam.

Terdahulu, hubungan persahabatan antara Anna dan Rossa bukanlah satu perkara yang baharu apabila masing-masing sering berkongsi momen dalam media sosial setiap kali bertemu sama ada di Malaysia mahupun Indonesia.

Bagaimanapun, video muzik Bertengkar Manis itu menjadi kerjasama sulung antara mereka berdua.

-Advertisement-

Sementara itu, Rossa atau nama sebenar, Sri Rossa Roslaina Handayani, 44, mengakui pemilihan Anna untuk terbabit dalam video muzik terbaharunya adalah tepat.

“Pemilihan Anna untuk video muzik Bertengkar Manis ini seperti yang saya bayangkan kerana perwatakan yang dimilikinya.

“Lakonan Anna sangat bagus dengan ditunjukkan melalui perasaan yang penuh emosi dan pasti akan membuat penonton lebih mendalami erti di sebalik lagu ini,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Pudar itu.

Dalam perkembangan lain, Anna berjaya melebarkan sayapnya apabila dilamar syarikat produksi Indonesia untuk menjalani penggambaran drama bersiri bagi laman penstriman atau Over-The-Top (OTT), MNC TV.

Sehubungan itu, Anna sudah ‘berkampung’ di Bali, Indonesia selama enam minggu untuk menyempurnakan tugasan berkenaan.

-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373