Gegaran Gempa Bumi Mindanao Turut Dirasai Penduduk Semporna

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEMPORNA, 8 Jun – Gegaran akibat gempa bumi yang melanda Mindanao, Filipina turut dirasai oleh penduduk di daerah ini pagi tadi.

Seorang pekerja sektor swasta di Tawau, Hamzah Sainudin, 42, berkata gegaran tersebut dirasai selama kira-kira 10 saat ketika beliau berada di Jeti Seafest sekitar jam 7.40 pagi.

“Ketika kejadian, saya sedang menunggu bersama seorang rakan di jeti untuk ke Pulau Mabul bagi urusan kerja. Pada jam 8.40 pagi, saya menaiki bot untuk ke pulau itu dan sebelum itu singgah di Jeti Pelancongan Kampung Bangau-Bangau. Keadaan laut ketika itu agak bergelora.

“Setibanya di jeti pelancongan, kami dinasihatkan oleh pihak bomba supaya tidak meneruskan perjalanan ke pulau atas faktor keselamatan susulan gegaran gempa bumi dan kemungkinan berlakunya tsunami,” katanya kepada Bernama.

Hamzah berkata selepas itu, bot berkenaan berpatah balik ke tanah besar di Semporna dan keadaan di daerah itu ketika ini dilaporkan tenang.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Bugaya, Anas Mulpi, 28, berkata beliau turut merasai gegaran selama kira-kira empat saat ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Pada waktu itu, saya sedang menaiki tangga untuk membaiki siling sebuah premis di Semporna. Selepas gegaran berlaku, siren amaran dibunyikan,” katanya.

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter itu melanda Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi pada kedalaman 50 kilometer dengan pusat gempa terletak pada latitud 5.7 darjah utara dan longitud 125.1 darjah timur.

Susulan kejadian itu, amaran tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pesisir pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari ini. – Bernama

-Advertisement-