Anzalna Nasir Ajak Orang Ramai DM Jika Ada Keluarga Kurang Bernasib Baik untuk Bantuan Juadah Berbuka

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR — Anzalna Nasir meluahkan hasrat untuk membantu keluarga kurang bernasib baik menikmati juadah berbuka puasa dengan lebih sempurna.

Anzalna, 38, berkata setiap kali tiba waktu berbuka, dia sering teringat kepada mereka yang mungkin tidak berpeluang menikmati hidangan secukupnya.

“Kalau ada yang kenal keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan, boleh hantar mesej peribadi (DM) atau maklumkan kepada saya,” katanya melalui hantaran di Threads.

Pelakon drama Dendam Aurora itu memilih untuk menyalurkan bantuan secara lebih dekat dan peribadi, dengan turun padang sendiri bagi melihat situasi penerima dan memastikan sumbangan sampai kepada yang memerlukan.

-Advertisement-

“Mohon maaf, kali ini sekitar Kuala Lumpur sahaja sebab saya sendiri hendak turun padang dan sampaikan sendiri bantuan. Semoga sedikit usaha ini dapat meringankan beban mereka dan beri juadah yang sedap-sedap waktu berbuka,” katanya.

Perkongsian Anzalna itu mendapat perhatian netizen yang kagum dengan keprihatinannya terhadap golongan memerlukan.

-BeritaHarian