APAD, KDN Perkukuh Kerjasama Keselamatan Jalan Raya

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 9 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi kunjungan hormat Ketua Pengarah APAD, Ahmad Radhi bin Maarof, bersama pegawai kanan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Hj. Abdul Halim bin Hj. Abdul Rahman, di Putrajaya pada 8 September 2026.

Pertemuan tersebut menjadi platform bagi memperkemas kerjasama dan penyelarasan antara agensi, khususnya dalam aspek perkongsian data serta maklumat berkaitan keselamatan, pematuhan dan penguatkuasaan melibatkan kenderaan serta pemandu.

Tumpuan turut diberikan kepada kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan barangan yang memerlukan pemantauan serta penguatkuasaan berterusan bagi memastikan tahap keselamatan di jalan raya sentiasa terpelihara.

Kerjasama strategik antara APAD, KDN, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat penting dalam memperkukuh pendekatan penguatkuasaan bersepadu serta menyokong usaha mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

-Advertisement-

Usaha perkongsian maklumat dan penyelarasan antara agensi juga dapat membantu meningkatkan keberkesanan pemantauan terhadap pematuhan peraturan dalam kalangan pengendali, pemandu dan pemilik kenderaan.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Darat, MOT, Dr. Fatimah binti Kamal serta Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM, DCP Mohd Rozi bin Jidin.

Kerjasama berterusan antara agensi berkaitan diharap dapat memperkukuh sistem pengangkutan awam darat yang selamat dan berkesan, selaras dengan aspirasi menyediakan mobiliti yang mampan untuk semua. – The Capital Post