KUALA KUBU BHARU, 9 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor meneruskan usaha memperkukuh pemeliharaan warisan sejarah institusi bomba menerusi cadangan menjadikan Bangunan Balai Bomba Lama Kuala Kubu Bharu sebagai muzium dan galeri bomba.
Pengarah JBPM Negeri Selangor, YS PKPjB Dato’ Wan Md Razali bin Wan Ismail mengetuai lawatan kerja ke bangunan berkenaan hari ini bersama wakil pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Selangor serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Program dimulakan dengan sesi taklimat dan perbincangan ringkas di Bilik Mesyuarat Utama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu sebelum delegasi meninjau keadaan Bangunan Balai Bomba Lama yang dicadangkan untuk dibangunkan sebagai sebuah muzium dan galeri berkaitan sejarah perkhidmatan bomba.
-Advertisement-
Cadangan tersebut turut dilihat berpotensi mengangkat bangunan berkenaan sebagai salah satu aset warisan di Kuala Kubu Bharu menerusi kerjasama strategik antara JBPM, MOTAC dan MPHS.
Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Ketua Zon 6, Ketua Balai BBP Kuala Kubu Bharu serta pegawai daripada Unit Pembangunan JBPM Negeri Selangor bagi meninjau potensi dan aspek pembangunan bangunan tersebut secara menyeluruh. – The Capital Post