JOHOR BAHRU: “Saya belum cukup bagus untuk beraksi di Jepun atau Korea Selatan.”
-Advertisement-
Itu jawapan pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi apabila diaju soalan ketika sesi bertemu peminat sempena pelancaran JDT Fans Token di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, malam tadi.
Pemain berusia 21 tahun itu menegaskan dia akan membuat keputusan untuk berpindah ke luar negara jika ada pasukan yang begitu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan khidmatnya.
Katanya, biarpun dikatakan berpotensi untuk melebarkan karier di peringkat antarabangsa namun pada masa sama Pemain Paling Bernilai dua musim berturut-turut itu mengakui bukan mudah beraksi di luar negara ketika ini.
“Main di kelab luar negara bukanlah sesuatu yang senang. Saya belum cukup bagus untuk bermain di Jepun atau Korea.
-Advertisement-
“Ingat senang nak main? Mentaliti mereka pun tak sama… jadi buat ketika ini, saya memang kena kekal di sini dan tingkatkan lagi prestasi.
“Lagipun, mereka bukannya benar-benar nak pemain kita. Kalau betul-betul barulah pergi, kalau tak, kekal di JDT sajalah,” katanya.
Arif Aiman mengulas cadangan sesetengah pihak supaya dia berkelana ke Timur Tengah, Jepun atau Korea Selatan dalam usaha mengembangkan kariernya.
– BH