Capital A cemerlang catat untung bersih RM1.12 bilion

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Capital A Bhd optimis dengan prospeknya menuju ke depan berikutan pemulihan kukuh dengan mencatatkan keuntungan bersih RM1.12 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 berbanding kerugian bersih RM931.22 juta dalam suku sama 2022.

-Advertisement-

Pada suku itu, pendapatannya meningkat lebih sekali ganda kepada RM3.15 bilion berbanding RM1.47 bilion suku sama tahun sebelumnya.

Dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023, Capital A mencatatkan keuntungan bersih RM1.18 bilion berbanding kerugian bersih RM1.84 bilion sementara pendapatannya meningkat kepada RM5.68 bilion berbanding RM2.28 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata pada suku itu, AirAsia Group telah meningkatkan kawalan efektifnya terhadap AirAsia Filipina kepada 100 peratus.

Beliau berkata, selama 21 tahun mengendalikan AirAsia, akhirnya pihaknya telah mengumpulkan empat syarikat penerbangan jarak dekat di bawah Asia Aviation Public Company Limited (AAV), yang terdiri daripada AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia dan AirAsia Filipina dalam prestasi kewangan suku kedua 2023.

“Langkah strategik ini membolehkan penganalisis dan pelabur mempunyai pandangan yang lebih jelas mengenai akaun kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Tony berkata, dengan usaha yang gigih, Capital A sebagai kumpulan penerbangan kos rendah, bernilai tinggi, inklusif dan pengembaraan yang menyampaikan nilai untuk syarikat bukan penerbangannya, kesemuanya mencatatkan pendapatan sebelum faedah dan cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) positif, sementara Bigpay sedang menuju ke arah itu.

Beliau berkata, kumpulan juga sedang dalam proses memuktamadkan usaha pengumpulan dana untuk Superapp dan Teleport.

-Advertisement-

Katanya, tujuan teras dana itu akan digunakan untuk pengembangan perniagaan dan meningkatkan keupayaan operasi untuk mencipta kelebihan daya saing yang berbeza.

“Ekosistem penawaran perjalanan dan gaya hidup kumpulan kekal sebagai kelebihan strategik yang utuh, memupuk pertumbuhan bersama dan sinergi antara komponennya yang pelbagai,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam pula berkata pihaknya kekal yakin terhadap prospek penerbangan memandangkan pengaktifan semula sepenuhnya armada miliknya.

Beliau berkata, sehingga hari ini, pihaknya berjaya mengeluarkan 175 pesawat daripada simpanan, menjangkakan untuk memulihkan perkhidmatan 180 menjelang akhir suku ketiga.

“Sasaran kami adalah untuk memulihkan sejumlah 200 pesawat kembali beroperasi menjelang akhir tahun. Pemulihan penumpang pada suku kedua 2023 terus melebihi kapasiti menyebabkan faktor muatan 87 peratus, tambang kekal 20 peratus lebih tinggi berbanding paras pra-COVID pada suku kedua 2019.

“Kami menjangkakan peningkatan pada separuh kedua akan memuncak pada suku keempat. Kami didorong oleh trajektori peningkatan pendapatan sampingan bagi setiap penumpang, yang diunjurkan memperoleh momentum untuk mencapai AS$358 juta pada separuh kedua, meningkat 27 peratus berbanding tempoh sama sebelum COVID, didorong oleh inisiatif produk baharu yang kukuh dan harga dinamik,” katanya.

– BH