RGBI sahkan pengarah urusannya disiasat SPRM, nafi terbabit dalam ‘pembiayaan politik’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: RGB International Bhd (RGBI) iaitu syarikat yang dikaitkan membiayai kempen pilihan raya di negara ini, mengesahkan seorang pengarah urusannya sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

-Advertisement-

Ia susulan penahanan Pengarah Urusan RGBI, Datuk Seri Chuah Kim Seah oleh agensi penguatkuasaan itu, sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

“Lembaga Pengarah RGBI ingin menjelaskan lebih lanjut bahawa Pengarah Bebas Bukan Eksekutif RGBI, Tan Sri Norazman Hamidun tidak ditahan SPRM.

“Individu yang ditahan ialah Kim Seah dan kini beliau diikat jamin serta memberikan kerjasama penuh dengan penyiasatan,” katanya dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, semalam.

Beberapa hari lalu, media melaporkan siasatan SPRM didakwa menemui bukti menunjukkan dana daripada beberapa syarikat perjudian digunakan untuk membiayai sekurang-kurangnya tiga kempen pilihan raya sejak 2018.

SPRM mendapati dana bernilai RM6 juta hingga RM7 juta itu dipercayai diterima orang kenamaan dan pemimpin politik selepas syarikat perjudian berkenaan diberi lesen mengoperasikan aktiviti mesin slot di kelab persendirian dan persatuan dimiliki syarikat pengendali mesin judi.

Mengulas lanjut, RGBI turut menafikan mereka terbabit dalam sogokan berkenaan, malah menegaskan, siasatan SPRM adalah berkaitan perniagaan peribadi.

-Advertisement-

“Pembabitan RGB dalam penyiasatan ini semata-mata berkaitan dengan penjualan mesin kepada kelab slot Malaysia.

“Syarikat ingin menegaskan bahawa kami tidak dan tidak akan membenarkan sebarang bentuk ‘pembiayaan politik’.

“Pengarah syarikat juga tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik di negara ini,” katanya.

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia, kelmarin, RGBI turut menjelaskan anak syarikatnya, RGB Sdn Bhd hanya menjalankan penjualan langsung mesin permainan dan aksesorinya dan tidak mempunyai pembabitan atau pemilikan dalam kelab slot Malaysia.

-BH