Mydin korbankan keuntungan demi bantu pelanggan

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Mydin Mohamed Holdings Bhd, nama untuk produk isi rumah dalam industri rantaian pemborongan dan peruncitan Malaysia, akan terus meningkatkan komitmennya terhadap pembinaan negara bangsa.

-Advertisement-

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata Mydin sering kali mengorbankan marginnya dan mengutamakan orang ramai berbanding meraih keuntungan bagi membantu membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan, sekali gus membantu syarikat itu kekal berdaya tahan.

Berkecimpung dalam perniagaan sejak permulaannya yang sederhana pada Ogos 1957, beliau berkata syarikat itu menempuh banyak cabaran dalam perjalanannya, seperti krisis ekonomi pada 1998, bencana alam seperti banjir besar pada 2021 dan yang paling sukar ialah krisis pandemik COVID-19 pada 2020.

Mengimbas kembali fasa sekatan pergerakan yang mencabar, beliau berkata adalah sukar untuk membayar sewa dan gaji pekerja apabila jualan syarikat berkurangan atau mencatatkan hasil yang lebih rendah, katanya.

“Kami banyak belajar melalui pandemik. Kami mula membincangkan cara untuk mengurangkan kos operasi dan mempelbagaikan kaedah jualan barangan di platform e-dagang untuk menarik lebih ramai pengguna dan mengukuhkan jenama Mydin,” katanya kepada Bernama.

Sokongan daripada kerajaan dan kesatuan perniagaan dari segi libat urus dan dialog juga membantu mengurangkan impak dan membina daya tahan untuk ke arah pemulihan.

Sebagai sebahagian daripada komitmen pembinaan negara bangsa, Ameer Ali berkata Mydin adalah perintis inisiatif Rahmah kerana ia menawarkan diri untuk memulakan Menu Rahmah selepas bekerjasama dengan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menjawat jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ketika itu bagi membendung inflasi makanan dan membantu orang ramai berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Menu Rahmah, yang menawarkan hidangan berharga RM5 dan ke bawah, mula dilancarkan di Pasar Raya Besar Mydin Subang Jaya pada 31 Januari 2023.

“Masalahnya ialah sukar untuk membuat program makanan yang lebih murah, tetapi saya memberitahu Datuk Seri Salahuddin bahawa ia boleh dilakukan dan memberitahu beliau, mari kita cuba.

“Pada mulanya, banyak kedai makan bimbang keuntungan mereka akan tersepit kerana orang ramai mungkin memilih Menu Rahmah, tetapi selepas beroperasi selama dua atau tiga bulan, kami mendapati hanya 10 peratus hingga 15 peratus pelanggan memilih makanan yang lebih murah.

“Secara keseluruhannya, saya boleh katakan Menu Rahmah adalah mampan kerana peratusan mereka yang membeli makanan yang lebih murah tidak begitu tinggi, dan ia tidak menjejaskan perniagaan yang lain kerana mereka mengaut keuntungan daripada menu biasa yang lain,” katanya.

Inisiatif itu kemudiannya diteruskan dengan inisiatif Payung Rahmah, seperti Jualan Rahmah, Bakul Rahmah dan kempen ‘Kasih Sayang Ibu dan Si Manja’, bagi mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar.

Sempena sambutan kemerdekaan negara, Ameer Ali berkata beliau optimis tentang perniagaan walaupun berdepan masalah ekonomi yang berlarutan seperti inflasi, kadar pertukaran yang lebih lemah dan kuasa beli yang semakin berkurangan.

“Kita telah melalui banyak halangan seperti sekatan dan larangan import produk berikutan perang Russia-Ukraine, serta kelemahan ringgit berbanding dolar AS pada tahun ini.

-Advertisement-

Bagaimanapun, beliau menyifatkan ia adalah kejutan yang sementara.

Beliau menyuarakan harapan agar ekonomi Malaysia kekal stabil selepas pilihan raya negeri manakala kerajaan pula memberi tumpuan kepada membangunkan negara dan membawa lebih banyak pelaburan untuk memulihkan keyakinan pelabur.

“Pada tahun depan, Mydin merancang untuk mengguna pakai kecerdasan buatan (AI), analitik data dan penyelesaian teknologi perniagaan pintar untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.

“Kami berhasrat untuk berkembang lagi dengan membuka cawangan baharu di Perlis menjelang akhir 2025 untuk menjana lebih banyak hasil dan pulangan,” katanya sambil menambah Mydin akan sentiasa menjadi jenama Malaysia yang boleh dibanggakan yang wujud sejak 1957.

Beliau berkata, perniagaan di bawah nama Mydin Mohamed Bros dimulakan oleh arwah bapanya, Mydin Mohamed Ghulam Hussein, yang berhijrah dari Pulau Pinang ke Kota Bharu, Kelantan.

Bapanya mula menjual pelbagai barangan di kaki lima dan dari sebuah kedai kayu kecil di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu.

Abangnya, Datuk Murad Ali Mydin, mengembangkan perniagaan dengan membuka kedai kayu yang kedua di Kuala Terengganu pada 1979, katanya sambil menambah kedai itu akhirnya berkembang menjadi rangkaian pasar raya dengan nama Mydin.

Meneruskan legasi keluarga, Ameer Ali berkata beliau mengambil langkah untuk membawa perniagaan itu ke Kuala Lumpur dan membuka kedai di Jalan Masjid India pada 1989.

Disebabkan permintaan yang tinggi, Mydin kemudiannya membuat lonjakan besar dengan membuka pusat beli-belah dan pasar raya besar pertamanya di Subang Jaya, Selangor, pada 2006 dan pasar raya besar di Kota Bharu dikenali sebagai Mydin Tunjong pada 2022.

Pada masa ini, Mydin mempunyai 61 cawangan dengan hampir 7,000 pekerja di seluruh negara dan 130,000 unit penyimpanan stok, termasuk 100 jenama pengeluar peralatan tulen Mydin.

-BERNAMA

-BH