AS umum larangan visa, beri amaran kepada Israel hentikan keganasan

Estimate Reading Time: 2 minutes

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam mula menguatkuasakan larangan visa ke atas peneroka Yahudi terbabit dalam keganasan di Tebing Barat yang diduduki Israel.

-Advertisement-

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, di mana tindakan terbabit dibuat selepas wujudnya beberapa rayuan supaya rejim Israel melakukan lebih banyak pencegahan keganasan oleh penduduk Yahudi di situ.

Mengulas lanjut, katanya, dasar sekatan visa Jabatan Negara AS yang baharu menyasarkan individu yang dipercayai terbabit dalam menjejaskan keamanan, keselamatan, atau kestabilan di Tebing Barat.

“Ia termasuklah melalui tindakan keganasan atau mengambil tindakan lain yang menyekat akses orang awam kepada perkhidmatan penting dan keperluan asas secara berlebihan,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden AS, Joe Biden dan pegawai kanan AS yang lain memberi amaran berulang kali bahawa Israel mesti bertindak menghentikan keganasan oleh penduduk Israel terhadap warga Palestin di Tebing Barat.

Serangan berkenaan meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, khususnya selepas penempatan Yahudi semakin meluas, dan ia diburukkan sejak serangan Hamas ke atas Israel, 7 Oktober lalu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, berkata gesaan supaya Israel melakukan lebih banyak usaha menghentikan keganasan pelampau terhadap rakyat Palestin, dan memastikan mereka bertanggungjawab terhadap tindakan itu sudah dijelaskan Blinken kepada pegawai Israel semasa lawatan minggu lalu.

Beliau berkata, selain itu, pemimpin Palestin juga mesti melakukan lebih banyak lagi tindakan untuk mengekang serangannya terhadap Israel di Tebing Barat.

“Larangan pertama melalui dasar baharu itu akan dikenakan pada hari Selasa dan lebih banyak tindakan akan dibuat dalam tempoh beberapa hari akan datang.

-Advertisement-

“Kami menjangkakan akhirnya tindakan ini akan memberi kesan kepada puluhan individu dan mungkin ahli keluarga mereka,” katanya.

Miller berkata, mana-mana warga Israel yang kini mempunyai visa AS juga boleh dibatalkan atas sebab terbabit dan akan dimaklumkan.

Katanya, Israel juga sudah mengambil beberapa langkah untuk menahan orang yang bertanggungjawab atas keganasan Tebing Barat, seperti meletakkan mereka dalam tahanan.

“Namun kita percaya mereka harus didakwa. Tindakan Washington ini tidak menghalang keperluan bagi kerajaan Israel untuk mengambil tindakan sendiri dan kami akan memastikan kami sama-sama jelas mengenainya,” katanya.

Sejak perang Timur Tengah 1967, Israel menduduki Tebing Barat, namun rakyat Palestin mahukannya sebagai teras negara merdeka.

Penempatan Yahudi di Tebing Barat dianggap tidak sah oleh kebanyakan negara namun dipertikaikan Israel.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berkata tiada sesiapa selain pihak berkuasa Israel yang mempunyai hak menggunakan keganasan.

“Israel adalah negara yang mempunyai undang-undang. Hak menggunakan keganasan hanya milik mereka yang diperakui oleh kerajaan,” katanya.
– REUTERS
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373