ASEAN Perkukuh Sains Tingkah Laku Dalam Agenda Kesihatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 10 September 2026 (The Capital Post) – Usaha memperkukuh penerapan sains tingkah laku dalam agenda kesihatan serantau terus dipergiat menerusi penganjuran bersama acara sampingan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Acara yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar b. Abd. Wahab itu turut membincangkan beberapa topik berkaitan kesihatan, termasuk kesihatan mata dan Drugs for Neglected Diseases Initiative (DNDi).

Dalam sesi berkaitan sains tingkah laku, Ahli Kumpulan Kerja Teknikal Sains Tingkah Laku WHO, Prof. Madya Dr. Caryn Mei Hsien Chan tampil sebagai panel pertama dengan berkongsi perspektif global mengenai penerapan sains tingkah laku dalam bidang kesihatan, selain mengemukakan cadangan bagi memperkukuh pendekatan tersebut di rantau Asia Tenggara.

-Advertisement-

Sementara itu, Ketua Unit Behavioural Insights IPTK NIH, Dr. Saiful Adli b. Suhaimi berkongsi peranan serta sumbangan Malaysia di peringkat antarabangsa, termasuk pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan bagi memperkukuh penerapan sains tingkah laku dalam sistem kesihatan negara.

IPTK berharap negara-negara ASEAN terus mempergiat kerjasama dan usaha bagi menjadikan pendekatan sains tingkah laku sebagai sebahagian daripada agenda utama kesihatan di setiap negara, khususnya melalui penghasilan bukti empirikal yang dapat menyumbang kepada peningkatan taraf kesihatan rakyat. – The Capital Post