KLUANG 10 September 2026 (The Capital Post) – Seorang ibu dan dua anak lelakinya maut selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Titiwangsa, di sini malam tadi.
Ketiga-tiga mangsa dikenal pasti sebagai Noraini Ibrahim, 49, serta dua anak lelakinya, Khairul Nurhaziqq Khairul Nizam, 18, dan Khairul Nurhadiff, 11.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Jusoh Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada kira-kira 10.44 malam sebelum menggerakkan 14 anggota bersama jentera ke lokasi.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati rumah berukuran 16 kaki x 70 kaki itu mengalami kemusnahan kira-kira 50 peratus akibat kebakaran.
-Advertisement-
Beliau berkata, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, pihaknya mendapati tiga mangsa masih terperangkap di dalam kediaman berkenaan.
Kesemua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran pancutan air sebelum kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya. Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM. – The Capital Post