Bagi setiap kotak ubat tebusan Israel, 1,000 kotak untuk penduduk Gaza – Hamas

Estimate Reading Time: < 1 minute

GAZA: Seorang pegawai tertinggi Hamas mengumumkan syarat baharu bagi penghantaran ubat-ubatan kepada tebusan yang ditahan oleh kumpulan itu di Gaza.

-Advertisement-

Sambil itu beliau menegaskan, trak yang membawa ubat-ubatan berkenaan tidak boleh diperiksa oleh Israel.

Dua pesawat Qatar yang membawa ubat-ubatan itu tiba semalam di bandar El-Arish, Mesir, yang terletak berdekatan lintasan sempadan Rafah, kata Kementerian Luar Qatar.

Di bawah perjanjian yang diusahakan pengantara Qatar dan Perancis pada Selasa lalu, ubat-ubatan bersama dengan bantuan kemanusiaan turut dibekalkan kepada orang awam di Gaza.

Ini sebagai pertukaran untuk menghantar ubat-ubatan yang diperlukan oleh tebusan yang ditahan hamas di sana, di mana seramai 45 tebusan dijangka menerima bekalan ubat-ubatan mengikut perjanjian.

Semalam, seorang anggota kanan biro politik Hamas, Musa Abu Marzuk, mendedahkan syarat baharu untuk penghantaran ubat-ubatan kepada tebusan.

“Untuk setiap kotak ubat yang masuk untuk mereka (tebusan), 1,000 kotak akan dibekalkan untuk penduduk Gaza,” katanya di platform sosial X.

Tambah beliau, ubat-ubatan itu akan dibekalkan melalui negara yang dipercayai Hamas dan bukan Perancis, serta akan diagihkan ke hospital berbeza.

“Begitu juga, trak farmaseutikal akan masuk tanpa melalui pemeriksaan Israel,” katanya.

-Advertisement-

Bagaimanapun, badan tentera Israel yang bertanggungjawab bagi hal ehwal awam di wilayah Palestin, COGAT, memberitahu AFP semalam, lima trak yang membawa ubat-ubatan akan menjalani pemeriksaan keselamatan di persimpangan Kerem Shalom.

“Semua penghantaran bantuan yang memasuki Semenanjung Gaza tertakluk kepada penelitian Israel,” katanya.

Semalam, jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari memberitahu media, Israel akan ‘sedaya upaya melakukan pemeriksaan dengan Qatar bagi memastikan ubat-ubatan itu akan sampai kepada tebusan yang memerlukannya’.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Qatar berkata pesawat itu membawa 61 tan bantuan termasuk ubat-ubatan.

Sementara itu, Perancis berkata, ubat-ubatan itu akan dihantar ke hospital di Rafah di mana ia akan diserahkan kepada Palang Merah dan dibahagikan kepada beberapa kelompok sebelum dipindahkan kepada tebusan.

– AFP

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373