Bank Rakyat raih keuntungan sebelum cukai, zakat sebanyak RM1.70 billion

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) — Kumpulan Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat lebih tinggi sebanyak RM1.70 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 berbanding RM1.63 bilion pada tahun sebelumnya.

-Advertisement-

Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mubarak berkata peningkatan tersebut didorong oleh kekukuhan asas serta fokus terhadap aktiviti teras walaupun dalam ketidaktentuan ekonomi susulan pasca pandemik.

“Prestasi kewangan bagi tahun kewangan 2022 ini turut didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan kumpulan.

“Di samping itu, peruntukan penjejasan yang mencukupi pada tahun semasa sejajar dengan aliran industri, juga telah meningkatkan prestasi kumpulan,” katanya pada sesi pengumuman prestasi kewangan dan dividen Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022, di sini hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Selain itu, pendapatan operasi kumpulan turut meningkat sebanyak 3.42 peratus kepada RM5.90 bilion berbanding RM5.71 bilion sebelum ini, didorong oleh pertumbuhan pembiayaan yang kukuh dalam segmen perbankan runcit dan perniagaan.

Bank Rakyat juga mengumumkan dividen sebanyak 15 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM426.77 juta yang mula dibayar pada 30 Mac, 2023.

Pembayaran dividen itu akan dibuat kepada 799,511 anggota bank tersebut.

Prestasi kumpulan lebih baik itu juga disokong oleh peningkatan pendapatan berasaskan fi dan kutipan susulan pembiayaan hapus kira sebanyak 24.10 peratus kepada RM440.79 juta daripada RM355.19 juta pada tahun sebelumnya.

Kumpulan berkenaan turut mempamerkan disiplin dan pengurusan kos efisien yang dipaparkan oleh kadar nisbah kos kepada pendapatan yang sihat sebanyak 39.79 peratus yang lebih rendah daripada purata industri pada 44.20 peratus.

-Advertisement-

Jumlah aset kumpulan meningkat sebanyak 1.98 peratus atau RM2.27 bilion kepada RM117.33 bilion berbanding RM115.06 bilion pada tahun sebelumnya.

Mengulas selanjutnya, Mohd Irwan berkata pertumbuhan berterusan ini telah didorong terutamanya oleh peningkatan positif pembiayaan kasar dan pertumbuhan bersih aset perbendaharaan selari dengan strategi kumpulan sepanjang tahun.

Pulangan atas aset (ROA) meningkat kepada 1.45 peratus daripada 1.40 peratus yang sejajar dengan aliran industri.

Jumlah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) kumpulan tersebut meningkat sebanyak 2.84 peratus kepada RM9.49 bilion berbanding RM9.23 bilion sebelum ini hasil daripada aktiviti pengurusan tunai yang agresif serta promosi berterusan sepanjang tahun.

Nisbah CASA juga kekal stabil pada 11.14 peratus seiring dengan aspirasi pelan strategik lima tahun Kumpulan Bank Rakyat (BR25).

Dalam pada itu, jumlah dana pemegang saham kumpulan meningkat sebanyak 4.15 peratus atau RM0.89 bilion kepada RM22.55 bilion berbanding RM21.66 bilion pada tahun sebelumnya berikutan keuntungan bersih kumpulan pada tahun tersebut.

Sementara itu, Ewon berkata Kumpulan Bank Rakyat meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan bagi ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM33.57 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi.

Beliau berkata, sebanyak satu peratus atau RM16.78 juta turut disumbangkan kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi. – BERNAMA