Tanjong Malim, 4 Jun 2026 (The Capital Post) – Kehangatan dan kepelbagaian warisan kebudayaan dari Sabah dan Sarawak telah mewarnai kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi penganjuran program Borneo Native Day: Segulai Sejalai. Aktiviti kebudayaan bertemakan integrasi ini merupakan hasil inisiatif Exco Uniti dan Diversiti daripada Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 25/26. Pengisian karnival ini dirangka khusus sebagai wadah utama untuk menghimpunkan para pelajar daripada pelbagai latar belakang etnik, sekali gus mengangkat keunikan tradisi serta memupuk semangat kebersamaan yang utuh dalam kalangan warga komuniti Tanjong Malim.

Antara acara yang paling mencuri tumpuan ialah Pertandingan Tarian Kreasi Etnik, yang mencabar daya kreativiti para peserta untuk mementaskan gabungan elemen tarian tradisional bersama rentak tarian moden. Slot pertandingan ini memperlihatkan persaingan sengit melibatkan beberapa kumpulan kebudayaan kampus, iaitu Dayung Timengen, Citra Arjana, Uniti, dan Sempulang Gana. Setiap pasukan membawakan koreografi yang sarat dengan identiti masyarakat pribumi Borneo, sekali gus berjaya menyerlahkan lagi bakat kesenian serta potensi estetika yang ada dalam diri setiap penuntut universiti.

Selain persembahan tarian, penganjur turut mengadakan sesi ngirumboi sebagai salah satu aktiviti interaktif utama untuk menghidupkan lagi suasana pesta. Pengisian tradisi ini bukan sahaja berfungsi sebagai medium santai bagi merapatkan hubungan silaturahim sesama mahasiswa, malah bertindak sebagai ruang pendedahan secara langsung kepada para pengunjung luar untuk mengenali dengan lebih dekat adat resam serta nilai kebudayaan asli masyarakat Borneo yang unik.
-Advertisement-

Kemuncak festival kebudayaan ini diakhiri dengan majlis penutupan rasmi serta sesi penyampaian anugerah kepada pemenang Pertandingan Tarian Kreasi Etnik. Barisan peserta telah diadili secara profesional oleh dua panel juri jemputan khas, iaitu Encik Muhammad Alif Bin Azizi dan Encik Ramles Radin Anak Suradi. Keputusan rasmi menyaksikan kumpulan Citra Arjana dinobatkan sebagai johan dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM150.00, manakala kumpulan Uniti meraih gelaran naib juara bersama ganjaran tunai RM100.00. Tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan Dayung Timengen yang menerima wang tunai RM50.00, diikuti kumpulan Sempulang Gana di kedudukan keempat.

Kelancaran dan kejayaan penganjuran program berskala besar ini turut disokong menerusi jalinan kerjasama strategik bersama beberapa persatuan anak negeri dan bahasa. Antara persatuan yang komited memberikan komitmen penuh termasuklah Persatuan Bahasa Iban, Persatuan Perintis Bahasa Etnik, serta Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah. – The Capital Post