Cabaran Azmir bantu krisis ekonomi pemain industri

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Krisis ekonomi pemain industri kreatif yang berdepan kegetiran apabila tidak banyak peluang pekerjaan dan bisnes menjadi perkara pertama difikirkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, 48, apabila menerajui ‘kerusi panas’ itu berkuat kuasa 1 November lalu.

-Advertisement-

Bukan lagi jawatan yang dibanggakan, sebaliknya apa yang lebih penting, tanggungjawab di atas bahu yang dipikul bagi membantu dan merancakkan semula ekonomi penggiat seni yang semakin tenat.

Sana sini pemain industri kreatif mula bising dan merungut, malah banyak syarikat produksi terpaksa gulung tikar apabila peluang pekerjaan dan bisnes bagaikan ‘tertutup’ akibat krisis ekonomi.

Azmir berkata, dia bersyukur diberikan peluang kembali ke FINAS selepas lima tahun meninggalkan agensi kerajaan itu.

Pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah FINAS pada 2017 selama setahun, Azmir berkata, antara perkara utama dibincangkan ketika bertemu Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman adalah mengenai krisis ekonomi membabitkan pemain industri kreatif.

“Sekarang, isu utama adalah tidak banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dibuka menyebabkan penggiat seni berdepan tekanan.

“Sudah menjadi hasrat Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mahu menyelesaikan masalah yang kian meruncing bagi penstabilan ekonomi.

“Saya tak nafikan, pemain industri kreatif kini berdepan dengan kegawatan ekonomi. Bukan sahaja golongan penerbit, malah stesen televisyen (TV) juga alami kemerosotan dari segi jualan iklan.

“Ini berikutan banyak persaingan daripada media sosial yang kini lebih menjadi tumpuan dan menjana keuntungan.

“Di sinilah, peranan agensi kerajaan seperti FINAS bagaimana nak bantu mengurangkan bebanan. Salah satunya, menambahkan peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya ketika ditemui BH Online, baru-baru ini.

Bekas graduan Ijazah Pengkomputeran daripada Universiti Sheffield Hallam, United Kingdom itu berkata, FINAS perlulah memainkan peranan sebaiknya dalam merangka strategi dan pelan tindakan.

“Peranan utama FINAS lebih kepada ‘buka pintu’ bagi peroleh lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus pemain industri boleh bergerak.

“Saya memulakan langkah pertama dengan bertemu operator pawagam, stesen TV sama ada kerajaan mahu swasta serta platform penstriman atau Over The Top (OTT) bagi mengadakan rundingan bagaimana boleh bekerjasama dalam merancakkan semula industri kreatif.

“Saya percaya hasil kerjasama ini penggiat seni boleh bernafas semula, selain mencetuskan idea baharu dalam berkarya,” katanya.

Azmir tidak nafikan banyak perubahan berlaku dalam tempoh lima tahun ketika tidak berada dalam FINAS.

“Dari pemerhatian saya, industri kreatif tidak seperti dahulu. Boleh naik dan turun pada bila-bila masa.

“Selaku agensi kerajaan, FINAS kena sentiasa waspada dan ‘alert’. Jika sesuatu berlaku, apa tindakan yang boleh diambil dalam perancangan jangka masa panjang atau tindakan drastik.

“Bukan situasi membabitkan pandemik COVID-19 sahaja, malah ekonomi juga sering berubah-ubah,” katanya.

-Advertisement-

Azmir yang pernah menyandang jawatan Pengarah Kanan, Bahagian Pengkomersialan di FINAS pada 2015 berkata, industri perfileman berdepan dengan penurunan sebanyak 70 peratus ketika pandemik COVID-19.

“Impak pandemik COVID-19 sangat besar apabila statik kutipan filem hanya sekitar RM200,000 juta, berbanding sebelumnya mencecah RM1 bilion.

“Bagaimanapun, ada peningkatan tahun lalu selepas pandemik berakhir dan pawagam mula beroperasi sepenuhnya.

“Di sini, FINAS perlu memahami isu semasa. Selain penggiat seni, FINAS juga perlu membantu operator pawagam.

“Jika industri pawagam tidak beroperasi dengan baik, tidakkah juga akan memberikan kesan kepada tayangan filem?

“Jadi, industri kreatif dan pawagam perlu bergerak seiring untuk anjakan pada masa hadapan,” katanya.

Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu berkata, dia juga bersetuju dengan amanat Fahmi dan Kamil yang menekankan FINAS perlu fokus kepada inisiatif membangunkan filem lebih berkualiti.

“Fahmi berhasrat membawa lebih banyak filem tempatan berkualiti untuk dieksport ke luar negara.

“Kita sudah melepasi fasa pandemik, tidak seharusnya karya tempatan masih di takuk lama.

“Jadi, industri perfileman tempatan perlu bergerak pantas dan mencari rangkaian merentasi dunia,” katanya.

Mengulas perubahan yang bakal berlaku dalam penstrukturan FINAS, Azmir berkata, masih terlalu awal untuk menentukannya.

“Saya perlu bertemu dan berbincang dengan Kamil dan Ahli Perbadanan FINAS terlebih dahulu.

“Mereka akan menentukan hala tuju dan polisi. Saya akan berkongsi perubahan yang bakal dilakukan.

“Namun, paling penting, saya perlu bertemu dengan pemain industri, persatuan dan platform membeli dan menjual kandungan.

“Mereka lebih tahu apakah masalah di lapangan untuk tindakan segera,” katanya.

Terdahulu, FINAS mengumumkan Azmir sebagai CEO baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 November 2023 sehingga 31 Oktober 2025.

Beliau menggantikan Prof Dr Md Nasir Ibrahim yang kontraknya ditamatkan pada 1 Jun lalu.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373