CelcomDigi Perkukuh Kesiapsiagaan Musim Tengkujuh

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA 17 Oktober 2026 (The Capital Post) – CelcomDigi Berhad mempergiat langkah kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh menerusi kerjasama dengan Malaysian Relief Agency (MRA) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia bagi memastikan komuniti terjejas banjir terus mendapat akses komunikasi serta bantuan kemanusiaan ketika kecemasan.

Pasukan CelcomDigi memeriksa barangan bantuan bersama MRCS sebelum diagihkan kepada mangsa banjir.

Inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,400 isi rumah dengan keupayaan bantuan meliputi kira-kira 42,000 orang di enam negeri yang sering berdepan risiko banjir, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang dan Sabah.

Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, CelcomDigi menyediakan sokongan logistik termasuk kenderaan pacuan empat roda, bot penyelamat, stesen pengecasan mudah alih, pam air, pam jet, penjana elektrik serta tenaga sukarelawan bagi membantu operasi MRA di kawasan terjejas.

MRA bersama CelcomDigi di gudang.

Syarikat telekomunikasi itu turut merancang melengkapkan 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan kemudahan Akses Wayarles Tetap (Fixed Wireless Access, FWA) supaya mangsa banjir dapat terus berhubung dan memperoleh maklumat penting sepanjang tempoh kecemasan.

-Advertisement-

Dalam aspek perlindungan infrastruktur, CelcomDigi mengambil langkah meninggikan struktur rangkaian utama di kawasan berisiko banjir bagi mengurangkan kemungkinan kerosakan pada peralatan radio dan elektronik. Pasukan operasi turut bersiap siaga sepanjang masa untuk menyalurkan penjana elektrik serta sokongan teknikal ke lokasi yang mengalami gangguan perkhidmatan.

Kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa berkaitan juga diteruskan bagi membantu penyampaian maklumat terkini kepada masyarakat di kawasan berisiko tinggi.

Selain tindakan operasi, CelcomDigi menggalakkan orang ramai membuat persediaan awal menerusi Kit Pengurusan Bencana Banjir yang menyediakan panduan praktikal untuk menghadapi kecemasan. Kit tersebut boleh diakses melalui aplikasi dan platform media sosial CelcomDigi, selain dimuat turun dalam Bahasa Malaysia di https://cdlink.net/kitbanjir atau Bahasa Inggeris di https://cdlink.net/floodkit.

Usaha bersepadu ini mencerminkan komitmen CelcomDigi dalam menyokong kesiapsiagaan komuniti serta memastikan perkhidmatan komunikasi dan bantuan asas dapat disalurkan ketika berdepan cuaca buruk dan bencana banjir – The Capital Post