GENTING HIGHLANDS, 16 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan kepentingan integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam pengurusan perolehan kerajaan sempena penutupan Kursus Perolehan Siri 3 Tahun 2026: Pemantapan Penilaian Perolehan Kerajaan, pada Jumaat.
Program yang melibatkan seramai 45 pegawai penilai perolehan daripada KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu bertujuan meningkatkan kompetensi serta memperkukuh ketelusan dalam proses penilaian perolehan kerajaan.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Kewangan KKR, Muhammad Haizul Azreen Usol Ghafli, menerusi ucapan penutup kepada para peserta.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai modul pembelajaran interaktif, sesi perkongsian praktikal serta sesi dialog bersama barisan kepimpinan tertinggi KKR dan JKR.
Pengisian tersebut memberi tumpuan kepada pemantapan kemahiran penilaian perolehan serta pengukuhan kefahaman mengenai tanggungjawab pegawai dalam memastikan setiap keputusan dibuat secara objektif dan telus.
-Advertisement-
Para pegawai penilai turut diingatkan supaya melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh integriti, akauntabiliti dan profesionalisme bagi memelihara tadbir urus perbelanjaan awam.
KKR turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Kewangan kementerian atas usaha menjayakan penganjuran kursus berkenaan.
Kementerian itu menegaskan komitmennya untuk terus meningkatkan kompetensi warga kerja bagi memastikan setiap proses perolehan kerajaan dilaksanakan secara berhemah dan memberikan nilai faedah terbaik kepada negara.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Kerja Raya Malaysia, penganjuran kursus tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus perolehan melalui peningkatan kemahiran, integriti dan kebertanggungjawaban pegawai penilai – The Capital Post