Colombia akan cadangkan PBB iktiraf Palestin negara merdeka

Estimate Reading Time: 2 minutes

BOGOTA: Presiden Colombia, Gustavo Petro mengumumkan semalam Colombia akan mencadangkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pengiktirafan Palestin sebagai negara merdeka sepenuhnya.

-Advertisement-

Dalam catatan X disertai dengan video akibat perang di Hospital Al-Shifa di Gaza, Petro menyatakan, “pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu di hospital Al Shifa di Gaza. Colombia akan mengemukakan cadangan kepada PBB supaya Palestin diterima sebagai negara penuh.”

Petro juga mengisytiharkan Bogota akan menghentikan pembelian senjata dari negara yang mengundi menentang atau mengelak daripada resolusi yang menggesa gencatan senjata di Gaza.

Ini bermakna Colombia tidak akan membeli senjata dari negara seperti Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Great Britain, tiga ahli tetap yang mengundi menentang, serta Jepun. Dan ia juga tidak akan membeli senjata dari Albania, Brazil, Ecuador, Ghana, Malta dan Switzerland, negara-negara yang berkecuali.

“Negara demokratik dan progresif mesti berjuang untuk memelihara undang-undang kemanusiaan antarabangsa bagi mengelakkan kebiadaban daripada menular di dunia,” katanya seperti dilaporkan Anadolu.

Petro juga menerbitkan keputusan undian negara-negara di PBB untuk mengisytiharkan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki.

“Lihat di sebelah mana Colombia berada, lihat jika majoriti dunia tidak mencari keadilan, lihat jika Colombia tidak mengiringi perjuangan itu,” katanya.

-Advertisement-

Jumaat lalu Pedro mengumumkan Colombia akan secara aktif menyertai aduan yang difailkan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadap Netanyahu, atas dakwaan jenayah perang, yang akan dikemukakan oleh Algeria.

Beliau berkata Menteri Luar Alvaro Leyva akan bertemu dengan pendakwa Mahkamah, Karim Khan, untuk menangani isu ini.

Presiden telah mengutuk keras serangan Israel ke atas Gaza selepas Hamas menceroboh wilayah Israel.

Ketika serangan Israel ke atas Gaza memasuki hari ke-38, sekurang-kurangnya 11,180 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lebih 7,700 kanak-kanak dan wanita, dan lebih 28,200 yang lain cedera, menurut angka terkini daripada pihak berkuasa Palestin.

Beribu-ribu bangunan, termasuk hospital, masjid, dan gereja, juga telah rosak atau musnah dalam serangan udara dan darat yang tidak henti-henti dilancarkan Israel ke atas kawasan yang dikepung sejak bulan lalu.
– AGENSI
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373