COVID-19: Cina haramkan dagangan hidupan liar

Estimate Reading Time: < 1 minute

HONG KONG: China mengharamkan serta merta perdagangan dan amalan memakan hidupan liar, dalam usaha terbaru mengekang penularan COVID-19.

-Advertisement-

Agensi berita Xinhua melaporkan, undang-undang baharu itu menggantikan arahan awal menggantung sementara perdagangan dan amalan memakan hidupan liar, yang dikeluarkan Januari lalu.

Coronavirus baharu COVID-19, yang disyaki berpunca daripada hidupan liar di pasar Wuhan, China, dipercayai menjangkiti manusia dan setakat ini sudah mengorbankan lebih 2,700 mangsa di China dan merebak ke lebih 30 negara lain.

Antara punca jangkitan awal dikesan dalam kalangan mereka yang terdedah kepada hidupan liar seperti kelawar, ular dan musang dijual di pasar berkenaan.

Jurucakap Suruhanjaya Hal Ehwal Penggubal Undang-Undang China, Zhang Tiewei, berkata, walaupun tidak dapat dibuktikan, wujud kebimbangan bahawa amalan memakan daging hidupan liar mungkin menyumbang kepada penularan COVID-19.

“Justeru, menjadi satu kemestian yang perlu disegerakan bagi membendung jangkitan dan mengekang penularan virus ini secara berkesan.

-Advertisement-

“Keputusan Kongres Awam Kebangsaan menetapkan, perbuatan haram memakan dan memperdagangkan hidupan liar akan dikenakan ‘hukuman berat’.

“Ini termasuk kesalahan memburu, menjual beli dan mengangkut hidupan liar untuk dijadikan makanan,” tegas beliau.

Sementara itu, tambah beliau, penggunaan hidupan liar bagi tujuan lain seperti penyelidikan saintifik, perubatan dan pameran perlu melalui pemeriksaan rapi serta mendapat kelulusan kuarantin.

Reuters melaporkan, penguatkuasaan undang-undang itu dilakukan ketika peniaga daging keldai, anjing, rusa, buaya dan hidupan liar lain sedang bersedia untuk kembali berniaga berikutan mangsa wabak COVID-19 semakin berkurangan.

Bagaimanapun, ramai ahli akademik, pencinta alam sekitar dan sebahagian besar penduduk China sendiri mendesak kerajaan mengharamkan sama sekali perdagangan dan amalan memakan hidupan liar. – REUTERS