SUNGAI BULOH 14 Julai 2026, (The Capital Post) – Program CSR@KUSTA 3.0 berjaya menghimpunkan pelbagai institusi dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit kusta, sekali gus menggalakkan penerimaan serta empati terhadap individu yang pernah berdepan dengan penyakit berkenaan.
Program yang berlangsung pada 11 Julai lalu merupakan hasil kerjasama antara Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sungai Buloh dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh. Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada pendidikan kesihatan awam dengan menepis salah faham dan stigma yang masih wujud dalam kalangan masyarakat terhadap penyakit kusta.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk ceramah kesihatan, sesi perkongsian ilmu serta pengalaman individu yang pernah menghidap penyakit kusta. Pendedahan tersebut bertujuan meningkatkan pemahaman bahawa penyakit berkenaan bukan sekadar sebahagian daripada sejarah negara, malah menjadi peringatan tentang kepentingan ilmu, penerimaan dan nilai kemanusiaan dalam kehidupan bermasyarakat.
-Advertisement-
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ts. Dr. Fatimah Zaharah, Pengarah Bahagian Jaringan Alumni dan Kesepaduan UiTM. Program itu turut dihadiri wakil-wakil daripada PKKN Sungai Buloh, UiTM Sungai Buloh dan ILKKM Sungai Buloh yang terus komited memperkukuh usaha memperkasakan kesedaran kesihatan awam.
Seramai 324 peserta telah mengambil bahagian dalam program tersebut, terdiri daripada 274 pelatih ILKKM Sungai Buloh serta 50 pelajar UiTM Sungai Buloh. Penyertaan itu mencerminkan komitmen golongan muda dan institusi pendidikan dalam menyokong inisiatif kesihatan komuniti serta membina masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin terhadap golongan yang pernah terkesan dengan penyakit kusta. – The Capital Post