Cukai akan dinaikkan selari dengan pertumbuhan ekonomi, kata Guan Eng

Estimate Reading Time: 2 minutes

GEORGE TOWN: Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan terpaksa membuat pertimbangan sebelum memutuskan sama ada ia perlu menaikkan cukai berikutan Malaysia terus menjadi negara yang mencatatkan kutipan cukai paling rendah di dunia berbanding saiz ekonominya.

Beliau berkata, walaupun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip sebanyak RM145 bilion pada 2019, angka tertinggi dalam sejarah agensi itu, namun pemantau antarabangsa menganggap ia kecil apabila dibandingkan dengan saiz ekonomi Malaysia yang dianggarkan bernilai RM1.35 trilion tahun lepas.

Dalam ucapan pada satu acara LHDN, Lim berkata, berdasarkan data Bank Dunia 2017, kutipan cukai Malaysia ialah 13% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebih rendah daripada Vietnam (19%), Chile (17.4%), Poland (16.8%) dan Korea (15.4%).

Beliau berkata, kutipan cukai Malaysia yang rendah adalah disebabkan insentif cukai yang “agresif”, pematuhan cukai yang rendah dan pelarian cukai.

“Bila kita kutip banyak cukai, rakyat tidak suka. Bila kita kutip kurang cukai, pemberita akan tanya kenapa kita tidak kutip lebih banyak cukai.

“Kita berada dalam keadaan serba salah. Kita cuba kutip cukai secara munasabah. Walaupun kita mahu mengutip lebih banyak, tetapi kita juga tidak mahu bersikap terlalu keras sehingga dipanggil kejam dan sebagainya.

“Kita tidak mahu menghimpit semua orang. (Kita akan membuat keputusan untuk menaikkan cukai) berdasarkan pertumbuhan ekonomi. Harus ada keseimbangan supaya ia tidak terlalu membebankan rakyat.

Dalam pada itu Lim berkata, ekonomi negara dijangka lebih baik tahun ini berbanding 2019 dengan sasaran pertumbuhan KDNK 4.8%, dan sasaran defisit kewangan lebih rendah sebanyak 3.2%.

KDNK tahun lepas tumbuh sebanyak 4.7%.

Lim berkata, ekonomi dijangka berkembang kepada RM1.6 trilion, sementara kerajaan diunjur mengutip hasil sebanyak RM244.5 bilion, termasuk hasil bukan cukai berjumlah RM54.6 bilion.

Beliau menjangka ekonomi digital akan menyumbang 18.2% kepada KDNK tahun ini.

Lim berkata, LHDN dijangka mengutip hasil sebanyak RM154.6 bilion tahun ini, berbanding RM145 bilion tahun lepas. Kutipan 2019 bagaimanapun merupakan pertambahan sebanyak RM8 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Terdahulu Lim merasmikan persidangan tahunan pertama pengarah LHDN negeri di sebuah hotel di sini, sekali gus memaklumkan hala tuju prosedur operasi standard pembayar cukai yang perlu diikuti.

Beliau juga mengumumkan satu program modenisasi LHDN dengan kos RM218 juta bagi penambaikan berkaitan IT, termasuk analisis data dan proses automasi. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464