Dedah rakaman audio libatkan Najib langgar prinsip kedaulatan undang-undang, kata peguam

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman audio melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak dalah tindakan yang melanggar prinsip kedaulatan undang-undang, kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

-Advertisement-

Haniff berkata, tindakan SPRM menerusi ketuanya, Latheefa Koya mendedahkan rakaman audio itu berlawanan dengan harapan rakyat yang mahu negara kembali dipimpin ke landasan betul dan melihatnya mengamalkan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Rakyat meletakkan sepenuh harapan ke bahu pihak berkuasa, terutamanya pihak penguat kuasa undang-undang seperti SPRM, untuk menunjukkan amalan betul prinsip kedaulatan undang-undang.

“Ia supaya segenap lapisan masyarakat lain seperti pemimpin politik, korporat, profesional dan rakyat biasa dapat mengambil contoh amalan betul prinsip itu,” katanya dalam satu kenyataan.

-Advertisement-

Latheefa berkata, rakaman itu melibatkan Najib, pegawai kerajaan dan 2 individu dari Emiriah Arab Bersatu, menunjukkan seperti ada konspirasi untuk memanipulasikan maklumat.

Haniff berkata, berlandaskan prinsip undang-undang, Latheefa sepatutnya mengarahkan pegawainya membuat laporan polis dan menyerahkan kesemua bahan mengandungi 9 rakaman audio untuk siasatan.

“Jikalau ada kandungannya mendedahkan kemungkinan kewujudan bentuk jenayah lain, ia termasuk dalam kategori kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, bukannya di bawah Akta SPRM.

“Bahan bukti yang perlu disiasat polis tidak boleh didedahkan. Ia boleh menjejaskan siasatan dan juga memberi gambaran dan impak negatif,” katanya.

Najib dalam responsnya terhadap rakaman audio itu berkata, pendedahan SPRM dapat membantu kesnya di mahkamah, bahkan membuktikan beliau tidak berbohong dan cuba menyelesaikan masalah 1MDB dengan cara baik demi kebaikan Malaysia dan UAE. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427