Didik diri patuh undang-undang jalan raya

Estimate Reading Time: 2 minutes

Sejak April hingga 15 Mei lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 425 saman berhubung pelbagai kesalahan jalan raya. Antara yang tertinggi termasuklah memandu tanpa lesen dan insurans tamat tempoh.

-Advertisement-

Hal ini tentu sahaja membimbangkan kerana memandu tanpa lesen bermaksud pemandu tidak mempelajari teori dan undang-undang berkaitan jalan raya.

Sebaliknya mereka hanya memandu berdasarkan kemahiran memegang stereng sahaja. Sedangkan dalam ujian kelas memandu, bahagian teori dan undang-undang jalan raya itu adalah komponen terpenting yang membolehkan mereka memperoleh lesen memandu percubaan.

Apa yang memburukkan lagi keadaan apabila pengguna motosikal di bawah umur menunggang secara berbahaya. Malah, terdapat sebahagiannya yang tidak memakai topi keledar. Langkah sedemikian semestinya boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas. Lebih membimbangkan jika berlaku kemalangan yang membabitkan pengguna lain malah hingga ke tahap meragut nyawa.

Bagaimanapun jika seseorang pemandu itu memiliki lesen memandu yang sah, tetapi tidak mempunyai perlindungan insurans, mereka juga seharusnya dikenakan saman dan kompaun yang setimpal. Hal ini bagi memberi teladan atas sikap sambil lewa dan ambil mudah mereka yang boleh mendatangkan kemudaratan bukan hanya pada diri sendiri, tetapi pengguna jalan raya lain. Apatah lagi jika terbabit dalam kemalangan jalan raya dan gagal mendapatkan perlindungan insurans terhadap kenderaan diguna oleh mereka.

Dari perspektif pengguna jalan raya yang berhemah, kita sewajarnya mematuhi undang-undang berkaitan. Patuh pada undang-undang bermaksud kejayaan mendidik diri untuk berdisiplin, selain sentiasa amalkan pemanduan selamat.

-Advertisement-

Misalnya, jika anda memandu kenderaan berat, maka sewajarnya sentiasa berada di lorong kiri jalan kerana potensi risiko terhadap pengguna lain terutama penunggang motosikal dan pemandu kereta amat besar sekiranya berlaku kejadian di luar jangkaan.

Misalnya jika berlaku kes kecemasan sehingga memaksa kenderaan berat menggunakan brek secara mengejut tentunya ia akan mengurangkan risiko kepada pengguna lain. Kenderaan berat mempunyai momentum yang besar serta lebih masa diperlukan untuk menghentikan kenderaan jika dibandingkan dengan yang lain. Justeru, seharusnya kenderaan berat sentiasa digalakkan untuk berada di lorong kiri jalan.

Kesimpulannya, sebagai warganegara Malaysia yang prihatin, kita sewajarnya mempunyai lesen memandu sah serta sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.

Universiti Pendidikan Sultan Idris

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279