Diploma WBL 2.0 Perkasa Modal Insan ATM

Estimate Reading Time: < 1 minute

SELANGOR 9 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan meneruskan pelaksanaan Program Diploma Work-Based Learning (WBL) 2.0 menerusi Kohort 2 selepas kejayaan melahirkan seramai 230 graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui kohort pertama.

Majlis perasmian Program Diploma WBL 2.0 Kohort 2 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan, Datin Roszanina Wahab di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Program WBL merupakan inisiatif strategik Kementerian Pertahanan dalam memperkasakan pembangunan modal insan warga ATM dengan mengiktiraf pengalaman perkhidmatan sebagai laluan untuk memperoleh kelayakan akademik, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran anggota selepas menamatkan perkhidmatan dalam angkatan tentera.

-Advertisement-

UPNM terus memainkan peranan sebagai rakan strategik Kementerian Pertahanan dan menjadi universiti awam pertama yang membangunkan tiga program Diploma WBL bagi memenuhi keperluan pembangunan kerjaya anggota ATM.

Kejayaan melahirkan 230 graduan menerusi Kohort 1 menjadi bukti komitmen berterusan kementerian dan UPNM dalam menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan serta meningkatkan kesiapsiagaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam kalangan warga ATM. – The Capital Post