UMK Perkukuh Agenda Keusahawanan Bersama KPT

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 9 Julai 2026, (The Capital Post) – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus memperkukuh agenda pembangunan institusi apabila Naib Canselornya, Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah bersama delegasi mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim di Putrajaya.

Pertemuan tersebut dimulakan dengan sesi pengenalan mengenai UMK serta pembentangan ringkas berkaitan perkembangan semasa universiti yang meliputi pelbagai pencapaian, inisiatif strategik dan hala tuju institusi dalam memperkukuh kedudukannya sebagai universiti berteraskan keusahawanan.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan aspek pentadbiran universiti bagi memastikan kelancaran operasi serta pelaksanaan agenda pembangunan institusi secara mampan dan berdaya saing.

-Advertisement-

Sesi berkenaan turut menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai inisiatif yang berpotensi memperkukuh pembangunan institusi, memperkasa ekosistem keusahawanan serta menyokong usaha meningkatkan kecemerlangan sektor pendidikan tinggi negara.

Kunjungan hormat itu mencerminkan komitmen berterusan UMK dan KPT dalam mempererat kerjasama strategik ke arah melahirkan institusi pendidikan tinggi yang lebih inovatif, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara. – The Capital Post