KUALA LUMPUR 2 Julai 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap usaha penerbitan sebuah buku baharu yang mengangkat gagasan pemikiran beliau berkaitan peradaban budaya bangsa untuk dijadikan bahan rujukan generasi akan datang.
Menurut beliau, manuskrip buku bertajuk “Gagasan Anwar Ibrahim Dalam Peradaban Budaya Bangsa” itu telah melalui proses penilaian dan pengolahan oleh tokoh akademik negara, termasuk Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim yang turut terlibat sebagai pakar rujuk dalam penyediaan kandungan.
Buku berkenaan ditulis oleh Profesor Dr. Salinah Ja’afar, pensyarah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, yang turut menjalankan sesi temu bual eksklusif bersama Perdana Menteri bagi merakam idea, pandangan serta pengalaman beliau untuk dimuatkan dalam penulisan tersebut.
-Advertisement-
Anwar berkata beliau menghargai usaha penulis yang berhasrat mendokumentasikan pandangan serta pengalaman hidupnya dalam bentuk penulisan ilmiah yang akan dihuraikan secara lebih mendalam dalam buku berkenaan.
Beliau berharap naskhah tersebut dapat menjadi sumber rujukan penting kepada generasi akan datang, khususnya dalam aspek pembangunan bangsa, pemikiran budaya serta pengukuhan nilai diri masyarakat. – The Capital Post