Mulanya hanya berhijrah dan bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan.
Namun ada antara Mat Bangla terbabit kini mampu memiliki premis perniagaan, membeli kereta mewah selain memperoleh pendapatan bersih hampir RM100,000 sebulan.
Kebanyakan mereka ini menukar profesion sebagai tauke atau pemborong baju dan seluar jenama terkemuka cetak rompak di ibu kota.
Lebih mengejutkan apabila kualiti barangan cetak rompak dijual hampir 90 peratus menyamai produk tulen hingga menyukarkan pihak berkuasa membezakannya.
Terbaru, sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya dan Selangor menyerbu empat premis perniagaan di Kenanga Wholesale City, semalam.
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Cawangan Operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rosli Ahmad berkata, operasi membabitkan 28 pegawai KPDNHEP yang bertindak melakukan penyamaran sebelum serbuan dilakukan.
Menurutnya, hasil daripada pemeriksaan dilakukan, pihaknya mendapati beberapa premis perniagaan di kawasan itu dimiliki warga asing Bangladesh.
“Mereka dikesan berniaga pakaian jenama terkemuka tiruan yang dipercayai diseludup dari luar negara dalam kuantiti besar.
“Kami berjaya merampas pakaian jenama Levi’s membabitkan pelbagai saiz, bentuk dan warna. Kebanyakannya meniru rekaan dan potongan produk tulen menggunakan fabrik berkualiti,” katanya.
Menurutnya, semua 2,980 pakaian dirampas dan disita itu dianggarkan bernilai lebih RM104,000.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana disyaki mendedah, membekal dan menyimpan barangan yang menggunakan cap dagang palsu,” katanya. – Metro