e-Jurnal MPI Diiktiraf Dalam MyCite

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 20 Julai 2026 (The Capital Post) – Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman menghadiri Malam Wartawan Malaysia 2026 yang berlangsung di The Majestic Hotel sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan industri media dan kewartawanan negara.

Majlis berprestij itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil, sekali gus menghimpunkan pengamal media, pemimpin industri dan wakil pelbagai agensi dalam meraikan kecemerlangan bidang kewartawanan.

Pada majlis berkenaan, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman telah menyampaikan Sijil Pengiktirafan kepada e-Jurnal Kewartawanan Malaysian Press Institute (MPI) sempena pengindeksannya dalam Malaysian Citation Index (MyCite). Pengiktirafan tersebut membuktikan jurnal berkenaan memenuhi piawaian kualiti akademik dan penerbitan penyelidikan di Malaysia.

-Advertisement-

Pencapaian itu dijangka memperkukuh pembangunan ilmu kewartawanan berasaskan penyelidikan, inovasi dan amalan profesional, di samping meningkatkan kredibiliti penerbitan ilmiah dalam bidang media di negara ini.

Pengiktirafan tersebut turut diharap menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak penyelidikan berkualiti serta memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi, penyelidik dan industri media dalam memperkasa ekosistem ilmu serta memartabatkan profesion kewartawanan di Malaysia. – The Capital Post