KUALA LUMPUR 17 Ogos 2026 (The Capital Post) – Program EduSpark 2026 terus memperkukuh peranan mahasiswa sebagai pemangkin perpaduan dan pembangunan mampan menerusi penglibatan 200 pelajar dalam program yang berlangsung selama dua hari di Universiti Malaya.
Majlis penutupan program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik), Kementerian Perpaduan Negara, YBrs. Tuan Mohamad Sobri bin Mat Daud.
Dianjurkan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia dan diketuai oleh Sekretariat Kesukarelawanan Universiti Malaya (SEKRUM), EduSpark 2026 memberi penekanan kepada nilai kesukarelawanan, kepimpinan dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Program tersebut turut menyediakan ruang kepada para pelajar untuk meneroka potensi diri, mendapatkan pendedahan berkaitan hala tuju pendidikan serta memahami keperluan dan realiti masyarakat melalui penglibatan secara langsung di lapangan.
-Advertisement-
Golongan mahasiswa turut dilihat berperanan lebih besar daripada sekadar sebagai sukarelawan, sebaliknya mampu menjadi ejen perpaduan yang menyemai nilai saling menghormati, empati, kerjasama dan semangat kebersamaan dalam komuniti.
Melalui pendekatan tersebut, EduSpark 2026 berupaya menjadi platform yang menggalakkan generasi muda memahami kepelbagaian masyarakat, merapatkan jurang perbezaan serta menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih harmoni dan inklusif.
Inisiatif berkenaan turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti, SDG 10 bagi Mengurangkan Ketidaksamaan serta SDG 17 yang menekankan kerjasama demi mencapai matlamat pembangunan. – The Capital Post