Ee Wei terpaksa ‘korbankan’ cuti

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei tidak sempat berehat panjang dalam usahanya memperagakan aksi terbaik pada saingan Terbuka Malaysia 2024, bermula 9 Januari ini.

-Advertisement-

Ee Wei yang bergandingan bersama Chen Tang Jie sejak November 2022 berkata, sebaik sahaja selepas Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzou, China pada 17 Disember lalu, dia hanya berehat selama tiga hari sebelum memulakan kembali latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Bagaimanapun, Ee Wei menegaskan dia lebih mengutamakan latihan berbanding bercuti bagi menghadapi musim baharu 2024 yang bakal membuka tirainya di Terbuka Malaysia di Arena Axiata.

“Sekarang ada dua minggu untuk latihan. Memang ada penat sedikit kerana sudah setahun tak ada menyertai latihan yang konsisten memandangkan asyik menyertai kejohanan, jadi dua minggu ini kena berusaha lebih sedikit.

-Advertisement-

“Memang saya tak mahu berehat, mahu berlatih dan ‘pecut’,” kata Ee Wei yang bersama Tang Jie sudah meraih tiga kejuaraan pada 2023 iaitu di Cabaran Antarabangsa Iran, Masters Orleans dan Terbuka Taiwan.

Di Terbuka Malaysia 2024, Tang Jie-Ee Wei dijadual bertemu gandingan Perancis yang berada di ranking ke-11 dunia, Thom Gicquel-Delphine Delrue yang pernah menewaskan mereka di Terbuka China September lalu.

“Lawan yang bukan mudah kerana daripada rekod pertemuan, kami 1-1. Saya tak mahu terlalu banyak berfikir mengenai pertemuan ini dan akan cuba melakukan yang terbaik.

“Kalau dilihat (daripada prestasi semasa), setiap gandingan ada peluang. Jadi bagi saya, jangan ada tekanan yang banyak dan kami perlu fokus untuk setiap perlawanan disertai,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427