Eksekutif Rugi RM617,159 Akibat Penipuan Pelaburan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KULAI, 22 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Seorang pegawai eksekutif mengalami kerugian sebanyak RM617,159 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan melibatkan pinjaman wang dan tawaran pelaburan dalam perniagaan aksesori kereta yang bermula sejak 2022.

Ketua Polis Daerah Kulai, ACP Tan Seng Lee berkata, lelaki berusia 29 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas gagal mendapatkan semula wang yang diserahkan kepada seorang kenalan yang dikenalinya sejak 2018.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mula meminta pinjaman wang daripada mangsa pada 2022 sebelum menawarkan peluang pelaburan saham dalam sebuah perniagaan aksesori kereta pada 22 Disember 2024.

Tawaran itu menjanjikan pulangan pelaburan sebanyak 45 peratus dalam tempoh setahun, sekali gus mendorong mangsa bersetuju menyertai pelaburan berkenaan.

Menurut Tan, mangsa yang mempercayai suspek kemudian membuat beberapa pembayaran secara dalam talian bagi tujuan pinjaman dan pelaburan tersebut.

Secara keseluruhan, mangsa melakukan 72 transaksi pemindahan wang ke enam akaun bank tempatan antara 30 November 2022 hingga 12 Mac 2026, membabitkan jumlah keseluruhan RM617,159.

-Advertisement-

Mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu selepas gagal mendapatkan semula wang pinjaman dan pelaburan yang diserahkan kepada suspek.

Kecurigaan itu semakin meningkat apabila mangsa mendapati nombor telefonnya telah disekat oleh suspek sehingga menyukarkan usaha untuk menghubunginya.

Tan berkata, kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda. – The Capital Post