TEMERLOH, 1 September 2026 (The Capital Post) – Empat individu maut manakala beberapa lagi cedera dalam kemalangan berantai membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1), berhampiran Temerloh, malam tadi.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, seorang kanak-kanak lelaki dalam Proton S70 serta seorang lelaki dewasa yang menaiki Honda CR-V.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata pasukan operasi yang tiba di lokasi kira-kira jam 11.24 malam mendapati enam mangsa tersepit dalam tiga kenderaan.
Kemalangan berantai itu melibatkan sebuah bas ekspres, lori tangki, Toyota Alphard, Toyota Hilux, Honda CR-V, Perodua Aruz, dua Perodua Myvi, dua Proton Saga dan sebuah Proton S70.
-Advertisement-
Menurut beliau, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mangsa cedera diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan rawatan.
Kesemua 30 penumpang bas ekspres bagaimanapun dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Mayat mangsa yang maut diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut serta urusan bedah siasat. – The Capital Post