GUA MUSANG, 1 September 2026 (The Capital Post) – Seorang pemandu lori kontena maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjerumus ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Ladang Serasa, semalam.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menerima panggilan kecemasan pada jam 9.11 pagi sebelum mengerahkan tujuh anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang ke lokasi.
Ketua BBP Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata pasukan tiba di lokasi kira-kira jam 9.58 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh 65 kilometer dari balai.
Menurut beliau, mangsa ditemukan tersepit di dalam kabin lori dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian.
-Advertisement-
Pasukan bomba menggunakan peralatan penyelamatan khas dengan bantuan kren daripada pihak swasta bagi mengeluarkan jenazah mangsa sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa selesai sepenuhnya pada jam 12.29 tengah hari. – The Capital Post