Empat PTD Baharu Terima Penempatan Di Kementerian Pertahanan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 14 Ogos 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, menyampaikan amanat serta menyerahkan surat penempatan kepada empat Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Gred M9 yang baru dilantik dalam satu sesi di Kementerian Pertahanan, baru-baru ini.

Dalam amanat tersebut, beliau mengingatkan bahawa penjawat awam memainkan peranan penting dalam memastikan dasar kerajaan dapat diterjemahkan kepada perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat. Sehubungan itu, pegawai yang baru dilantik digesa menjadikan kejujuran, keikhlasan, akauntabiliti dan profesionalisme sebagai asas dalam melaksanakan setiap amanah serta tanggungjawab yang diberikan.

Datuk Lokman turut menekankan bahawa kecemerlangan dalam perkhidmatan awam bukan sekadar bergantung kepada pencapaian dari sudut kerjaya, sebaliknya turut dipengaruhi oleh kekuatan peribadi dan nilai murni yang menjadi pegangan seseorang pegawai.

-Advertisement-

Beliau turut menyeru pegawai berkenaan agar memberi perhatian terhadap pembangunan kerohanian dan pembentukan jati diri melalui amalan yang mampu memperkukuh integriti, disiplin serta keseimbangan diri. Pendekatan itu penting bagi membantu mereka menghadapi cabaran tugas dan melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam di Kementerian Pertahanan dengan penuh dedikasi. – The Capital Post