Erdogan desak sokongan teguh untuk UNRWA

Estimate Reading Time: < 1 minute

DUBAI: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyeru semua negara yang ‘prihatin’ untuk berdiri teguh di belakang Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), memandangkan agensi itu sudah memainkan peranan penting dalam membantu jutaan pelarian di Jordan, Syria, Lubnan dan Palestin.

-Advertisement-

Berucap pada World Governments Summit (WGS) 2024 pada Selasa, Erdogan menyuarakan kebimbangan berhubung semakin banyak kritikan terhadap UNRWA, terutama selepas dakwaan yang membabitkan beberapa kakitangan agensi itu dalam konflik antara Hamas-Israel di Gaza.

Menurut beliau, walaupun UNRWA menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu, pemotongan dana daripada beberapa negara berisiko memburukkan lagi krisis kemanusiaan.

Erdogan menekankan kepentingan menangani punca konflik Gaza dan menyokong penubuhan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

-Advertisement-

Beliau menggesa Israel untuk menghentikan dasar-dasarnya dan mengakui hak rakyat Palestin untuk mempunyai sebuah negara yang merdeka bagi memastikan keamanan yang berkekalan di rantau itu.

Sempena lawatannya ke Emiriah Arab Bersatu untuk sidang kemuncak itu, Erdogan mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi Turkiye untuk perjuangan Palestin, mengutuk tindakan Israel di Gaza selain menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin, lapor Agensi Anadolu.
-BERNAMA
-BeritaHarian