PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman, yang akan menamatkan perkhidmatan pada 22 Februari ini, selepas hampir tiga tahun memimpin jabatan berkenaan.
Bercakap selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, Fahmi berkata beliau berbangga dengan sumbangan dan pembaharuan yang dibawa Suhaimi di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
“Dalam tempoh lebih kurang tiga tahun, Suhaimi telah menunjukkan kreativiti dan hasil kerja yang membanggakan bagi Jabatan Penyiaran Malaysia, termasuk beberapa pencapaian yang tidak boleh dilupakan,” kata Fahmi.
Beliau menekankan bahawa cabaran landskap media masa kini, termasuk perubahan corak tontonan daripada televisyen ke platform mudah alih, berjaya diatasi oleh Suhaimi. Di bawah kepimpinannya, RTM mula menyesuaikan kandungan dengan kecerdasan buatan (AI), media sosial, dan persaingan daripada syarikat media lain.
Antara pembaharuan yang diperkenalkan ialah penubuhan unit Media Digital dan Interaktif (MDI), yang menghimpunkan bakat muda bagi menghasilkan kandungan digital, serta pengembangan kehadiran RTM di platform seperti TikTok. Format berita juga diperbaharui, termasuk rangkuman berita pada 7.44 malam setiap hari, sejajar dengan matlamat mengutamakan bahasa Melayu dan memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris.
Selain itu, inisiatif mikrodrama berdurasi kurang satu minit yang akan disiarkan di platform RTM Klik adalah antara usaha Suhaimi menyesuaikan kandungan dengan gaya tontonan pantas pengguna, sesuai untuk penonton ketika menunggu pengangkutan awam.
-Advertisement-
Fahmi turut mendoakan kejayaan Suhaimi, yang difahamkan akan kembali menceburi bidang perniagaan selepas ini, sambil memaklumkan proses pelantikan pengganti akan dimulakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Pada 10 Februari lepas, Suhaimi mengesahkan akan meninggalkan RTM berkuat kuasa akhir bulan ini, selepas tiga tahun menerajuinya sejak Januari 2023.
-BERNAMA
-astroawani