FibreConnect APAC 2026 Fokus Infrastruktur AI

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 15 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kepentingan infrastruktur gentian optik dalam menyokong perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital menjadi antara fokus utama FibreConnect APAC Conference 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 14 hingga 15 Oktober.

Persidangan bertemakan Light the AI Revolution: Next-Gen Fibre Connectivity itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Mano Verabathran, yang menyertai perbincangan berkaitan pembangunan infrastruktur telekomunikasi generasi baharu.

Program berkenaan menghimpunkan pemain industri, pengawal selia, penyedia teknologi serta rakan strategik dari Malaysia dan rantau Asia Pasifik bagi bertukar pandangan mengenai keperluan rangkaian gentian optik yang mampu menampung peningkatan penggunaan AI dan keperluan digital yang semakin berkembang.

-Advertisement-

Selain menjadi medan perkongsian pengetahuan, persidangan tersebut turut membuka peluang untuk memperkukuh kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta dalam meneroka teknologi baharu serta membangunkan rangkaian strategik yang menyokong kemajuan infrastruktur digital.

Kerjasama berterusan antara pihak berkepentingan diharap dapat membantu membina infrastruktur digital yang lebih berdaya tahan, berkeupayaan tinggi dan bersedia memenuhi keperluan teknologi masa hadapan – The Capital Post