Gagal patuh SOP, 15 tapak pembinaan ditutup

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Sebanyak 15 tapak pembinaan di seluruh negara menerima notis penutupan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) selepas didapati tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

-Advertisement-

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof, berkata notis penutupan itu diberikan selepas pihak CIDB mendapati penempatan pekerja di tapak pembinaan terbabit tidak mematuhi Akta 446, tiada penjarakan fizikal dan pekerja tidak memakai pelitup muka.

“Kebanyakan kes positif COVID-19 di tapak pembinaan berpunca daripada kegagalan mematuhi SOP dan garis panduan ditetapkan.

“Hasil penemuan Kementerian Kesihatan (KKM) juga mendapati punca utama penularan wabak ini dalam kalangan pekerja asing disebabkan penempatan pekerja yang sesak, kotor dan tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Punca lain ialah pekerja berpindah dari satu tapak projek ke tapak projek yang lain, didapati berperanan menyebarkan wabak itu dan membentuk kluster pembinaan dan ketidakpatuhan SOP serta garis panduan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga kini, sebanyak 1,078 tapak pembinaan di seluruh negara sudah diperiksa CIDB dan 1,022 dibenarkan beroperasi.

Fadilah berkata, bagi kontraktor yang mendapat kebenaran beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka perlu memastikan pematuhan SOP sepenuhnya di tapak pembinaan dan penempatan pekerja bagi mengelakkan jangkitan dan penularan wabak COVID-19.

“Mereka akan berdepan tindakan tegas jika gagal berbuat demikian,” katanya.

-Advertisement-

Fadilah turut mengarahkan CIDB mempergiatkan pemeriksaan SOP di tapak pembinaan di seluruh negara untuk memastikan pematuhan.

“Jika projek pembinaan didapati tidak mematuhi SOP, CIDB akan mengeluarkan arahan penutupan tapak bina.

“CIDB juga boleh mengenakan tindakan tatatertib terhadap kontraktor terbabit yang mengakibatkan pendaftaran mereka dibatalkan atau digantung,” katanya.

Kontraktor yang ingin melihat SOP terkini boleh merujuk di laman web CIDB Malaysia www.cidb.gov.my/ms/pkp- kebenaran-beroperasi.

Maklumat lanjut berkenaan SOP dan garis panduan industri pembinaan boleh didapati menerusi Telegram rasmi CIDB Malaysia https://t.me/cidbmy atau hubungi Hotline CIDB 03-55673300 (Waktu Operasi dari Isnin hingga Jumaat jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373