Geng 36 kempunan hasil samun RM1.2 juta

Estimate Reading Time: 2 minutes

MELAKA: Sekumpulan penjenayah dikenali Geng 36 kempunan menikmati hasil samun berjumlah RM1.2 juta selepas lima ahli kumpulan itu dicekup polis Isnin lalu, tiga hari selepas menyamun seorang ahli perniagaan.

-Advertisement-

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata serbuan itu dilakukan pihaknya selepas menerima laporan daripada lelaki berusia 54 tahun yang menyatakan dia disamun empat lelaki ketika berada di rumahnya di Klebang, pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, susulan itu satu pasukan khas ditubuhkan sebelum menyerbu sebuah rumah di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur pada Isnin lalu kira-kira 3.45 petang dan menahan lima lelaki berusia 27 hingga 37 tahun.

“Selain merampas semula barangan disamun seperti wang tunai, barangan kemas, koleksi pedang dan sebuah Range Rover milik mangsa, dua kenderaan digunakan suspek untuk melakukan samun iaitu pacuan empat roda Toyota Hilux dan Vellfire turut dirampas.

“Siasatan juga mendapati mereka menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebagai dokumen pergerakan rentas negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

-Advertisement-

Abdul Majid berkata, dalam kejadian itu, empat suspek dikatakan ke unit kondominium mewah mangsa dengan lagak seolah-olah tetamu kira-kira jam 8.30 malam sebelum mengikat pasangan suami isteri itu.

“Mangsa dan isteri berusia 42 tahun bukan sahaja diacukan pisau malah turut diikat kira-kira lima jam. Bagaimanapun dua anak mereka berusia lapan dan sembilan tahun tidak diapa-apakan.

“Ketika melakukan samun kesemua suspek tidak memakai topeng muka selain senjata digunakan juga dikatakan diambil dari rumah mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua suspek didapati terbabit dalam jenayah kongsi gelap selain kesemua mereka didapati memiliki rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah.

“Kesemua mereka kini direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A kanun sama,” katanya.-BH