Gol sendiri Juve julang Inter

Estimate Reading Time: < 1 minute

MILAN, Itali: Gol sendiri pada babak pertama daripada Federico Gatti membantu pendahulu liga Inter Milan menang 1-0 di laman sendiri ke atas pasukan tangga kedua Juventus awal pagi tadi, melebarkan kelebihan mereka di puncak Serie A kepada empat mata.

-Advertisement-

Inter meledak gol lapan minit sebelum rehat ketika hantaran silang ke dalam kotak penalti menyaksikan Benjamin Pavard cuba melakukan sepakan gunting tetapi tidak berjaya sebaliknya bola terkena perut pertahanan Juve, Gatti yang tertampan ke dalam pintu golnya sendiri.

Keputusan itu membolehkan Inter mengumpul 57 mata dengan beraksi kurang satu perlawanan berbanding pencabar kejuaraan Juve, yang meraih 53 mata. AC Milan di tangga ketiga dengan 49 mata.

Pengurus Inter, Simone Inzaghi tidak mahu terbawa-bawa dengan kemenangan itu dengan menganggap musim masih panjang.

“Masih ada empat bulan penuh tekanan dengan banyak lagi perlawanan perlu diharungi, kami perlu meneruskannya sebegini,” katanya kepada DAZN.

-Advertisement-

“Bagaimanapun, ia hanya satu langkah dalam perjalanan yang jauh. Juve dan Milan tidak akan berputus asa.”

Inter bermain secara agresif sejak wisel permulaan di San Siro memburu kemenangan keenam berturut-turut untuk meneruskan permulaan sempurna tahun ini.

“Dengan cara kami bersedia, bermain dan menguasai perlawanan, kami amat gembira. Peminat menaikkan semangat kami sejak memanaskan badan hingga wisel penamat dan seterusnya,” kata Inzaghi.
– REUTERS
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373