Gudang logistik runtuh: CAP gesa tubuh suruhanjaya siasatan, ambil tindakan tegas

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa satu Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan segera bagi menyiasat punca kejadian runtuhan gudang logistik yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas, di sini.

-Advertisement-

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata pihaknya kesal dan kecewa dengan kemalangan yang mengorbankan tiga nyawa manakala dua parah.

“CAP menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) segera menyiasat dengan menyeluruh kejadian.

“Memandangkan tempat kejadian berdekatan pantai yang terdiri daripada tanah pasir dan batu kerikil, sebarang struktur dibina di kawasan berkenaan perlu dipastikan benar-benar selamat dengan mengambil kira kajian geologi,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Menurut laporan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP), sebanyak 6,793 kemalangan pekerjaan disiasat di Malaysia pada 2020 dan daripada jumlah itu terdapat 193 kematian sementara 256 hilang upaya kekal membabitkan pekerja asing.

-Advertisement-

“Dalam dua kes utama di Pulau Pinang, perancah runtuh di Jambatan Kedua Pulau Pinang dan sirip dinding runtuh di bangunan setinggi 21 tingkat, Suruhanjaya Siasatan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendapati terdapat ketidakcekapan dan kecuaian.

“Setiap kali berlaku kemalangan, kita akan tertanya-tanya kenapa ia berlaku, adakah ia cuma suatu kemalangan ataupun berlaku kerana kecuaian dan sekiranya ya, maka siapakah yang patut dipersalahkan? Pemaju, kontraktor, pekerja binaan atau pihak berkuasa sendiri? ” katanya lagi.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373