Guterres tekan UNSC isytihar gencatan senjata di Gaza

Estimate Reading Time: 2 minutes

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengambil tindakan yang jarang dilakukan semalam dengan memberi amaran rasmi kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung perang di Gaza.

-Advertisement-

Usul beliau menerusi Artikel 99 Piagam PBB itu mengenengahkan ancaman global akibat perang Gaza, dan disokong negara-negara Arab yang semakin lantang mendesak gencatan senjata dalam tempoh beberapa hari ini.

Dalam draf resolusi ringkas oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), seperti yang dilihat oleh Reuters, negara itu akan bertindak mengikut surat daripada Guterres, menuntut ‘gencatan senjata kemanusiaan segera’ dalam konflik antara Israel dan Palestin.

Diplomat berkata, UAE akan mengundi teks itu pada esok apabila UNSC akan diberi taklimat oleh Guterres mengenai Gaza.

Untuk diterima pakai, resolusi memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto oleh lima anggota tetap – iaitu Amerika Syarikat (AS), Russia, China, Perancis atau Britain.

“Draf resolusi UAE mendapat sokongan kumpulan Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Ini adalah keperluan moral dan kemanusiaan, kami menggesa semua negara menyokong Guterres,” kata utusan UAE ke PBB yang diciap di laman X.

Utusan Palestin ke PBB, Riyad Mansour, pula berkata menteri Arab dijangka melawat Washington hari ini dan akan membincangkan draf resolusi UNSC dengan pegawai AS.

“Agenda utama ialah perang ini perlu dihentikan. Gencatan senjata perlu dilakukan dan ia perlu dilaksanakan dengan segera,” katanya kepada pemberita bersama duta Arab ke PBB.

Bulan lalu, AS berkecuali apabila mengundi untuk membenarkan UNSC menerima pakai resolusi yang meminta jeda dalam pertempuran.

Namun, jeda tujuh hari dilaksanakan, menyaksikan Hamas membebaskan beberapa tebusan dan peningkatan bantuan kemanusiaan ke Gaza tetapi ia tamat pada 1 Disember dan perang disambung, malah bertambah sengit.

-Advertisement-

Dalam pada itu, Duta Besar Israel ke PBB, Gilad Erdan, menuduh Guterres sebagai memiliki tahap ‘moral baru yang rendah’ kerana menghantar surat itu kepada UNSC, sekali gus menuduh beliau berat sebelah kerana menyokong Hamas.

“Gesaan Setiausaha Agung untuk gencatan senjata sebenarnya adalah seruan untuk mengekalkan ‘pemerintahan keganasan’ Hamas di Gaza,” katanya.

Dalam suratnya, Guterres memberitahu UNSC mengenai perang ‘mungkin memburukkan lagi ancaman yang sedia ada terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa’.

Beliau menggunakan Artikel 99 Piagam PBB yang membolehkannya ‘membawa kepada perhatian UNSC mengenai apa-apa perkara yang pada pendapatnya boleh mengancam pengekalan keamanan dan keselamatan antarabangsa’.

Kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric, artikel itu tidak digunakan sejak beberapa dekad lalu.

“Kami menghadapi risiko keruntuhan sistem kemanusiaan yang teruk jika ia tidak digunakan bagi menangani malapetakan di Gaza,” tulis Guterres.

Katanya, kesan terhadap rakyat Palestin mungkin tidak dapat dipulihkan, namun demi keselamatan serantau, gencatan senjata kemanusiaan perlu diisytiharkan segera.

Dalam suratnya lagi, Guterres memberitahu UNSC, tiada perlindungan berkesan atau ruang yang masih selamat untuk orang awam di Gaza berlindung.

“Keseluruhan Gaza sudah musnah dibom Israel, yang masih meneruskan serangan di wilayah berkenaan,” tulisnya.
– REUTERS
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373