Hakim tarik diri dengar rayuan saman fitnah Apandi terhadap Kit Siang

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Rayuan bekas peguam negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang menolak saman fitnahnya bagi menuntut ganti rugi RM10 juta terhadap Tan Sri Lim Kit Siang, akan didengar panel Mahkamah Rayuan lain.

-Advertisement-

Ia berikutan Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang sepatutnya mendengar rayuan itu pagi ini, menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Hanipah yang bersidang bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Azmi Ariffin, membuat keputusan menarik diri daripada menganggotai panel terbabit dengan alasan demi kepentingan keadilan.

Dalam keputusannya, Hanipah berkata, ia adalah kerana beliau pernah memutuskan kes permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 11 November 2016 membabitkan keputusan Mohamed Apandi menutup siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berkaitan dengan perkara dalam rayuan ini.

Dalam kes terbabit, Hanipah membuat keputusan itu ketika menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, terhadap Mohamed Apandi.

Khairuddin mencabar keputusan Mohamed Apandi, bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah berhubung derma RM2.6 bilion, pemindahan dana oleh SRC International ke dalam akaun bank peribadinya dan pinjaman oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International.

“Perkara dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman itu membabitkan banyak isu seperti pelaksanaan kuasa Peguam Negara yangkini menjadi perayu berhubung Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, kegagalan perayu mendapatkan persetujuan bantuan perundangan bersama dalam siasatan skandal 1MDB dan tidak mendakwa perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku berhubung siasatan 1MDB di Mahkamah Tinggi.

“Oleh kerana keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi mesti dilihat untuk dilaksanakan, oleh itu saya menarik diri daripada mendengar rayuan demi keadilan,” katanya.

Mohamed Apandi dan Kit Siang hadir di mahkamah hari ini dan masing-masing diwakili peguam M Rueben dan Sangeet Kaur Deo.

-Advertisement-

Pada 23 Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Mohamed Apandi terhadap penasihatDAP itu kerana mendakwa memfitnahnya dalam artikel mengenai skandal 1MDB.

Dalam samannya yang difailkan pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, Kit Siang menulis dan menyebabkan artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity” disiarkan portal berita Malaysiakini.

Mohamed Apandi mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terbabit dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Peguam Negara.

Mohamed Apandi yang menyandang jawatan Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa perkataan fitnah itu tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim dan ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Mohamed Apandi memfailkan rayuan itu pada 24 Mei tahun lalu.

– Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373