KUALA LUMPUR 8 Oktober 2026 (The Capital Post) – Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat sebanyak 15 sen seliter bagi tempoh 8 hingga 14 Oktober 2026, manakala harga diesel tanpa subsidi kekal pada RM5.27 seliter.
Berdasarkan Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM), harga RON97 kini ditetapkan pada RM5.15 seliter berbanding RM5.00 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi meningkat kepada RM4.67 seliter daripada RM4.52 seliter.
Sementara itu, harga RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter, manakala petrol bersubsidi melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal RM2.05 seliter.
Harga diesel bersubsidi turut tidak berubah dengan diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter, manakala BUDI Diesel pada RM2.10 seliter.
Kementerian Kewangan memaklumkan kenaikan harga petrol tanpa subsidi berlaku ketika harga minyak mentah dunia kekal tinggi, dengan harga minyak mentah Brent berlegar sekitar AS$100 setong sepanjang tempoh pengiraan APM.
-Advertisement-
Tekanan harga kini lebih tertumpu kepada produk petroleum bertapis, dengan keadaan bekalan di pasaran antarabangsa turut dipengaruhi oleh penggantungan sebahagian besar eksport bahan api China bagi Oktober.
Pada masa sama, pemulihan kapasiti penapisan dan bekalan produk petroleum bertapis global kekal penting bagi mengurangkan tekanan harga dalam jangka sederhana, manakala perkembangan konflik di Asia Barat dan Rusia-Ukraine terus menjadi risiko terhadap kestabilan bekalan serta harga petroleum dunia.
Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin – The Capital Post