MOTAC Pantau Projek Pembangunan Negeri Sembilan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN, 8 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperkukuh pemantauan projek pembangunan di Negeri Sembilan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan teratur, berkesan dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk Surrendren Sathasivam bersama delegasi mengadakan lawatan dan mesyuarat pemantauan projek pembangunan di negeri itu pada 5 Oktober.

Antara fokus utama ialah meneliti kemajuan projek di bawah Rolling Plan (RP), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta kerja-kerja Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN) yang telah diluluskan MOTAC.

Lawatan itu turut memberi tumpuan kepada pengukuhan penyelarasan dan kerjasama antara MOTAC, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Negeri Sembilan dan agensi pelaksana bagi menangani isu berkaitan pelaksanaan projek.

Delegasi turut meninjau beberapa projek PPUN di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan, termasuk projek yang telah siap serta masih dalam pelaksanaan.

-Advertisement-

Selain itu, lawatan melibatkan tapak Projek Kemudahan Negeri Sembilan Miniature Culture Village serta pemantauan projek PPUN di Muzium Negeri Sembilan bagi menaik taraf kemudahan dan memperkukuh produk pelancongan berteraskan seni, budaya dan warisan.

Lawatan berkenaan membolehkan MOTAC dan agensi pelaksana menilai kemajuan, mengenal pasti isu serta menyelaras tindakan susulan bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut skop, tempoh dan peruntukan yang diluluskan.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, MOTAC kekal komited memastikan setiap peruntukan pembangunan memberi impak dan manfaat kepada sektor pelancongan, seni dan budaya negara – The Capital Post