Hari Cuci Malaysia 2026 Sasar Rekod MBOR Di Pantai Morib Baharu

Estimate Reading Time: < 1 minute

BANTING 25 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Program Hari Cuci Malaysia 2026 bakal berlangsung esok di Pantai Morib Baharu, Banting, Selangor sebagai inisiatif nasional bagi memperkasa budaya kebersihan, kelestarian alam sekitar dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.

Program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut mendapat sokongan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan dilaksanakan di peringkat kementerian menerusi kerjasama strategik bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Aktiviti pembersihan pantai menjadi fokus utama program bagi memastikan kebersihan serta keindahan ekosistem pesisir pantai terus terpelihara, selain mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat dan selesa untuk dinikmati masyarakat.

Program berkenaan turut menyasarkan penciptaan rekod baharu dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi usaha mengumpulkan jumlah sisa sampah terbanyak dalam tempoh sehari.

Selain berpotensi mencatatkan sejarah baharu, aktiviti gotong-royong itu turut menjadi wadah untuk menyemai semangat kesukarelawanan, meningkatkan kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar serta memupuk nilai keprihatinan dan tanggungjawab bersama.

-Advertisement-

Dalam konteks pembinaan Negara Bangsa, penganjuran program tersebut membawa mesej yang lebih luas apabila penglibatan warga kerja dalam aktiviti gotong-royong mencerminkan semangat kebersamaan, kesukarelawanan, jati diri dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Persekitaran yang bersih dan lestari bukan sahaja menyumbang kepada kualiti kehidupan masyarakat, malah mencerminkan tahap kesedaran sivik serta rasa memiliki terhadap negara.

Penglibatan individu daripada pelbagai latar belakang dalam satu matlamat yang sama turut memperlihatkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian, selain memupuk nilai saling menghormati, toleransi, keprihatinan dan kerjasama.

Inisiatif itu diharap dapat memperkukuh hubungan dalam kalangan warga kerja serta menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih inklusif dan harmoni demi membina Malaysia yang bersih, lestari dan sejahtera untuk generasi kini serta akan datang. – The Capital Post