Hisyam enggan keluarga terkesan berita sensasi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Untuk terus bertahan dalam kerjaya sebagai anak seni memerlukan seseorang untuk aktif dalam pelbagai platform media sosial.

-Advertisement-

Namun berbeza pendirian pelakon Hisyam Hamid, 38, yang lebih gemar mengamalkan konsep bersederhana ketika membuat perkongsian dalam platform berkenaan.

Pelakon kelahiran Singapura itu percaya untuk terus menggenggam gelaran popular perlulah disusuli dengan sikap profesional dan berdisiplin ketika menjayakan tugasan diberikan.

“Sudah tentu media sosial adalah ‘alat’ untuk meluahkan atau berkongsi sesuatu perkara, tapi secara peribadi, saya adalah seorang yang pendiam.

“Saya tidak berkongsi banyak perkara, tapi disebabkan kerja, saya perlu juga buat. Walaupun mungkin media sosial perkara yang perlu ada, tapi ia bukanlah yang saya perlu berikan tumpuan.

“Bagi saya, populariti akan datang seiring dengan lakonan dijayakan. Kalau drama lakonan baik, maka populariti akan naik.

“Tapi untuk kekal relevan mencabar juga. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana masih ada yang sudi ambil berlakon,” katanya kepada BH Online.

Hisyam berkata, dia bersederhana menggunakan media sosial bagi mengurangkan pelbagai berita sensasi yang mungkin menimbulkan persepsi negatif, sekali gus berpotensi memberi kesan kepada dirinya dan keluarga.

“Saya lebih rela tidak ada langsung berita mengenai saya kerana bimbang akan timbul pelbagai perkara negatif. Ia akan memberi kesan kepada saya termasuk anak-anak dan keluarga.

“Itu adalah perkara penting iaitu untuk melindungi keluarga daripada terkesan dengan berita sensasi.

“Kalau tidak ada cerita mengenai saya pun tidak mengapa supaya lebih terjamin daripada timbul perkara negatif susulan daripada apa yang dibangkitkan.

-Advertisement-

“Saya juga perlu fikirkan isteri dan anak-anak yang sememangnya di bawah jagaan saya,” katanya.

Ditanya keberkesanan media sosial untuk melonjak populariti, Hisyam tidak menolak perkara itu, namun pendekatannya tetap sama iaitu tidak mahu terlalu berkongsi dan memilih menyelesaikan secara peribadi.

“Kebanyakan peminat atau pengikut dalam media sosial lebih suka untuk lihat perkara bersifat peribadi.

“Mereka kadang-kadang tak berminat ambil tahu mengenai kerjaya lakonan sebab mungkin sudah tahu mengenainya.

“Baru-baru ini saya ada muat naik video memasak bersama anak-anak dan itulah yang paling tinggi jumlah tontonan.

“Tapi, saya tetap jarang berkongsi terutama soal peribadi dalam media sosial. Kalau ada masalah, sedih atau marah, saya hanya diamkan diri daripada media sosial,” katanya.

Sejak berhijrah ke Malaysia, Hisyam mula dikenali selepas berlakon dalam beberapa drama tempatan seperti Memori Cinta Suraya, Sayap Jibril, Ariana Rose dan Gerak Khas.

Sebelum memulakan kerjaya lakonan, Hisyam terlebih dahulu bekerja sebagai bomba di negara kelahirannya.

-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373