SHAH ALAM 14 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meneruskan usaha memperkukuh kesejahteraan keluarga menerusi pembangunan kemudahan kesihatan reproduktif yang berkualiti, inklusif dan memenuhi keperluan masyarakat.
Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, telah mengadakan lawatan tapak ke Pusat Subfertiliti Negara (PSN) di Shah Alam pada 12 Oktober lalu bagi meninjau perkembangan projek serta kemajuan kerja-kerja pembangunan pusat berkenaan.
Lawatan tersebut turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Dato’ Ruziah Haji Shafei, pegawai Bahagian Pembangunan KPWKM dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), serta wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertanggungjawab sebagai agensi pelaksana projek.
Pembangunan PSN dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh ekosistem kesihatan reproduktif negara, khususnya bagi menyediakan kemudahan dan sokongan rawatan subfertiliti kepada pasangan yang berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan zuriat.
-Advertisement-
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KPWKM untuk memperluas akses kepada perkhidmatan yang menyokong keperluan keluarga, di samping memastikan pembangunan kemudahan kesihatan reproduktif mengambil kira aspek kualiti, keterangkuman dan kesejahteraan masyarakat.
KPWKM akan terus mempergiat usaha membangunkan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat demi membentuk institusi keluarga yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan inklusif – The Capital Post