PUTRAJAYA 5 Julai 2026 (The Capital Post) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menerima kepimpinan baharu apabila dua tokoh akademik terkemuka negara dilantik menerajui institusi berkenaan, sekali gus memperkukuh peranan IKIM sebagai badan pemikir Islam yang menyokong agenda pembangunan ummah dan negara.
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman dilantik sebagai Pengerusi IKIM yang baharu, manakala Dato’ Prof. Dr. Ashraf Md Hashim pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi berkuat kuasa 18 Jun 2026. Majlis penyampaian surat pelantikan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, di Putrajaya.
Pelantikan kedua-dua tokoh berkenaan dibuat berdasarkan pengalaman luas serta sumbangan besar mereka dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan pemikiran Islam, khususnya dalam aspek sains, teknologi, syariah dan kewangan Islam.
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman dikenali sebagai tokoh akademik yang banyak menyumbang dalam bidang sains dan tenaga boleh baharu serta falsafah sains Islam. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) termasuk Ketua Jabatan Fizik, Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi serta Pengarah Institut Islam Hadhari. Beliau juga merupakan penerima Tokoh Maal Hijrah 2006.
-Advertisement-
Sementara itu, Dato’ Prof. Dr. Ashraf Md Hashim pula merupakan pakar dalam bidang syariah dan kewangan Islam dengan pengalaman luas di peringkat nasional dan antarabangsa. Beliau kini berkhidmat sebagai profesor di Universiti INCEIF serta aktif sebagai penasihat syariah dalam pelbagai institusi kewangan dan rangka kerja tadbir urus industri Islam.
Turut diumumkan dalam pelantikan tersebut ialah tiga ahli Lembaga Pengarah IKIM iaitu Datuk Haji Misnu Haji Taha (pelantikan semula), Tn. Hj. Sakaria Samela serta Prof. Madya Dr. Nur Izura Udzir yang dilantik sebagai ahli baharu.
IKIM dalam kenyataannya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas pelantikan tersebut dan yakin barisan kepimpinan baharu itu mampu memperkukuh institusi berkenaan sebagai pusat pemikiran Islam yang lebih dinamik, relevan dan seiring dengan perkembangan semasa dalam bidang teknologi, ekonomi dan politik. – The Capital Post